Polis tumpas sindiket penipuan E-Dagang, 10 ditahan
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan satu sindiket penipuan E-Dagang selepas melakukan serbuan di Lembah Klang, Perak, Kedah dan Kelantan serta menahan 10 orang, empat daripadanya wanita semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kesemua yang ditahan itu berusia antara 21 hingga 52 tahun, terdiri daripada empat pemilik akaun bank dan selebihnya pemilik alamat Internet Protocol (IP) yang digunakan untuk melakukan kegiatan itu.
"Siasatan mendapati modus operandi sindiket ialah mengiklankan barangan melalui platform E-Commerce (E-Dagang) dan menghubungi pembeli yang berminat sebelum diarahkan untuk berurusan secara terus dengan suspek, namun barang yang dijanjikan tidak diterima setelah bayaran dibuat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis merampas tujuh telefon bimbit, tiga komputer riba, 10 kad kredit, tiga modem dan satu passport Bangladesh.
Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 28 kes lain susulan penahanan itu, katanya.
Menurut Mohd Kamarudin, sebanyak 4,364 kes penipuan E-Dagang dicatatkan dalam tempoh 1 Januari hingga 20 Jun tahun ini.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada apabila membuat pembelian barangan dalam talian dan sentiasa berurusan melalui platform E-Dagang yang sah dan digalakkan untuk membuat semakan pengesahan akaun bank serta nombor telefon di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule
“Elak berurusan secara terus dengan pihak penjual terutama yang tidak dikenali dan tidak mendedahkan identitinya,” tegasnya.
Orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Resourse Center melalui talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah dalam talian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!