Kerajaan bakal umum pemberian moratorium, i-Sinar
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Golongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang masih belum nampak akan berakhir ketika ini mungkin boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bakal mengumumkan sesuatu mengenai pemberian moratorium dan i-Sinar dalam waktu terdekat.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Sabtu.
Beliau berkata, perbincangan sudah dilakukan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan agensi-agensi berkaitan.
"Isu moratorium dan i-Sinar. Salam semua. Saya sudah berbincang dengan PM dan agensi-agensi berkaitan.
"Kerajaan mendengar suara rakyat dan bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat, Insya-ALLAH," katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook beliau pada Sabtu.
Perkembangan terbaharu itu dilihat memberi harapan kepada rakyat yang mengharapkan agar bantuan moratorium automatik dan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar diteruskan.
Ini setelah negara terpaksa kembali berdepan gelombang baharu Covid-19 dengan pelaksanaan PKP 3.0 atau Sekatan Pergerakan Penuh.
Kenyataan Tengku Zafrul itu juga menguatkan lagi harapan rakyat kerana selari dengan pendedahan yang dibuat Menteri Penyelaras Vaksin Covid-19, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Jumaat bahawa kerajaan akan segera memberikan satu lagi pakej bantuan besar ekonomi.
Khairy dipetik sebagai berkata, inisiatif untuk menangani dampak Covid-19 itu akan diumumkan Muhyiddin.
"Saya yakin Perdana Menteri akan segera membuat pengumuman mengenai pakej bantuan ekonomi yang besar.
"(Tetapi) saya tidak mahu mendahului dengan membuat pengumuman lebih awal," kata Khairy semasa sesi libat urus dalam talian bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) sempena mesyuarat agung tahunannya yang ke-45.
Gesaan pemberian lanjutan moratorium automatik dan i-Sinar kepada rakyat telah disuarakan oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin daripada blok pembangkang dan kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!