Anwar gesa PM, Peguam Negara bersikap konsisten

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun supaya bersikap konsisten dalam memetik peruntukan yang ada di dalam perlembagaan.

Beliau berkata, masing-masing sepatutnya menerima perlembagaan secara keseluruhan bukan memetik ikut suka hati.

Anwar mendakwa, kenyataan Peguam Negara pada 16 Jun lalu dilihat telah menghina Istana Negara dan ia secara tidak langsung mengheret negara dalam krisis perlembagaan.

“Saya membaca kenyataan Peguam Negara bertarikh 25 Jun di mana beliau menyatakan Seri Paduka Baginda hanya boleh memanggil sidang Parlimen hanya dengan nasihat dari kabinet sambil memetik Perkara 39, 40 dan 43 dan beberapa preseden.

“Saya melihat peruntukan yang dipetik selari dengan amalan norma Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,” katanya menerusi Facebook milik beliau pada Sabtu.

Pada Jumaat, Idrus meminta Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat jemaah menteri untuk memanggil Parlimen bersidang mengikut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong juga perlu menerima serta bertindak mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong hanya menyampaikan kekecewaan majoriti ahli-ahli Parlimen dan rakyat Malaysia kerana kerajaan gagal mengawal wabak meskipun dikurniakan kuasa darurat.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mempersoalkan mengapa sidang Parlimen seolah-olah begitu payah dan sukar diadakan sedangkan kilang, restoran dan beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pun mula beroperasi.

“Apa yang kita saksikan hari ini, undang-undang diguna pakai sewenang-wenangnya bagi melindungi kerajaan yang tidak sah, maka kita ahli-ahli Parlimen yang telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan mesti menyatakan sikap,” katanya.

Beliau berkata, untuk kerajaan mendapat keabsahan termasuk mendapatkan titah diraja, mereka mesti membuktikan sokongan majoriti di Parlimen.

“Jika tidak, maka ia menampakkan kerajaan ini tidak serius tentang kebertanggungjawaban dan negara akan berada di bawah sistem diktator. Mungkin ini sebab mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) enggan membuka Parlimen.

“Saya mengakui negara sedang berdepan dengan kemelut dan ini bukan masa untuk bermain politik. Sekarang adalah masa untuk bersatu padu dan merungkai serta merencana tindakan yang tuntas.

“Justeru, perlembagaan mesti dihormati, apatah lagi di saat krisis hari ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, Malaysia antara negara yang paling lemah di pelbagai segi dalam mengawal pandemik, sama ada perolehan vaksin, tahap ujian saringan dan penggunaan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, ekonomi negara juga terus lingkup di mana ramai rakyat akan jatuh miskin malah ada beberapa pakar ekonomi turut meramalkan kerajaan akan menghadapi kemelesetan dalam jangka masa panjang.

“Mungkin sudah terlambat untuk membetulkan keadaan, tapi untuk mula membetulkannya, Parlimen mesti segera bersidang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!