'PKP 3.0 ibarat patah tangan kanan, yang dirawat kaki kiri'
SHAH ALAM - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang masih membenarkan kilang-kilang beroperasi disifatkan ibarat patah tangan kanan, tetapi yang dirawat adalah kaki kiri.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan mendakwa, ini kerana sektor kilang di Selangor dan Kuala Lumpur masih dibuka dan kebanyakannya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan tiada had pekerja pada sesuatu masa.
"Keadaan seperti ini menyebabkan kes harian tetap mencanak dan tidak akan turun.
"Ia umpama kita patah tangan kanan tetapi yang dirawat adalah kaki kiri.
"Masalah Covid-19 di negara kita tidak akan diselesaikan jika kluster terbesar iaitu kluster tempat kerja tidak ditangani dengan betul," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam kenyataan sama beliau menyatakan kebimbangan melihat kes harian yang masih pada tahap sama meskipun Sekatan Pergerakan Penuh telah dilaksanakan sejak hampir sebulan.
Beliau berkata, lebih mengecewakan apabila rakyat pula kian terhimpit dengan desakan hidup termasuklah golongan M40 dan peniaga kecil terutama di bandar-bandar.
"Penambahbaikan segera diharapkan iaitu pengeluaran tambahan daripada simpanan rakyat sendiri melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agar sewa dapat dibayar dan makanan masih dapat disediakan di atas meja, walaupun tiada pendapatan dalam fasa satu yang makin mencabar.
"Kemungkinan fasa satu akan lebih lama daripada 45 hari PKP 1.0 penuh tahun lepas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!