Fenomena pendakwah berbayar

Panduan al-Quran cukup jelas melarang perbuatan meletakkan harga tertentu sebagai upah dalam berdakwah.
Panduan al-Quran cukup jelas melarang perbuatan meletakkan harga tertentu sebagai upah dalam berdakwah.
A
A
A

ISLAM adalah agama yang tertegak atas landasan berdakwah dengan menyeru manusia mentauhidkan ALLAH SWT, hidup bersendikan syariat dan dihiasi dengan pekerti mulia. Nabi SAW merupakan utusan ALLAH yang diberikan tanggungjawab untuk menyampaikan agama-Nya kepada seluruh manusia di atas muka bumi ini.

Mesej utama dakwah Nabi membawa kesejahteraan kepada seluruh umat manusia di dunia dan akhirat. Oleh itu, kerja-kerja dakwah Nabi SAW dilaksanakan dengan penuh amanah, sampai kepada golongan sasar, bijaksana, jujur dan penuh keikhlasan. Beramal soleh merupakan wasiat malar segar Rasulullah kepada sekalian umatnya. Amal soleh ruang lingkupnya cukup luas, cukup dengan hanya membuang sesuatu di atas jalan raya seperti serpihan tayar pecah termasuk dalam amalan yang dimaksudkan dalam al-Quran untuk mendapat ganjaran di padang mahsyar nanti.

Dalam berdakwah, baginda tidak meletakkan sebarang harga untuk dibayar atau menuntut bayaran, namun apa yang berlaku kepada umatnya hari ini adalah sebaliknya.

Panduan al-Quran cukup jelas melarang perbuatan meletakkan harga tertentu sebagai upah melalui ayat-ayat berikut, surah at-Tuur ayat 40, firman ALLAH yang bermaksud: “Pernahkah engkau (wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam yang engkau sampaikan), lalu mereka berasa berat menanggung bayaran itu (sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?

”Surah al-Mukminun, ayat 72 yang bermaksud: “Atau adakah (mereka menolak seruanmu itu kerana) engkau meminta kepada mereka suatu pemberian (sebagai hasil pendapatan seruanmu)? (Ini pun tidak!) Kerana engkau percaya pemberian Tuhanmu lebih baik dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

Surah Shaad, ayat 86 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak meminta bayaran (upah) sedikit pun daripadamu atas dakwahku dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-ngada.”

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah, ayat 41 yang bermaksud: “Dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat-Ku (sebagai harga untuk mendapatkan keuntungan) untuk membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.”

Surah Yasin ayat 21 yang bermaksud: “Turutlah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan (bayaran, upah), sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk.”Bersandarkan ayat-ayat di atas, menurut Mazhab Syafie, harus menerima upah dengan syarat tanpa meminta (demand) dan keikhlasan pemberi, manakala menurut Mazhab Hanafi, hukum menerima upah adalah haram.

Artikel Berkaitan:

Kenapa hari ini berlakunya perang demand, apakah ini yang diajar Rasulullah SAW, sahabat, tabiin dan ulama salaf al-Salih.

Bagi penulis, meletakkan harga hanya berlaku di Malaysia sekitar 1980-an dan 1990-an setelah fenomena ini mula timbul di negara jiran. Di tempat kita, perkara ini berlaku bermula daripada program TV apabila para pendakwah mula meletakkan harga setelah mereka dikenali dan kedudukan mereka menarik minat masyarakat.

Tidak dapat dinafikan, penampilan pendakwah dengan identiti masing-masing seperti berserban dan berselempang menyebabkan masyarakat terpesona dengan perwatakan serta penyampaian mereka.

Tidak dinafikan juga ada dalam kalangan mereka yang tidak meletakkan sebarang harga, menerima seadanya jika diberi atau keikhlasan pemberi. Untuk rekod, fenomena pendakwah jadian ini pernah berlaku di negara kita sekitar lewat 1980-an apabila ada antara mereka muncul di kaca TV dengan gelaran al-Hafiz, sedangkan mereka tidak hafiz.

Hakikatnya, hanyalah pekerja binaan yang datang dari luar negara, masalah dan hukum-hakam, hafiz pun entah ke mana. Akhirnya siapa yang tertipu? Itulah sebahagian contoh yang boleh kita ambil iktibar.Fenomena tertipu dengan penampilan pakaian sering berlaku di Makkah ketika musim haji. Sebahagian orang-orang tertentu memberi khidmat kepada jemaah haji dengan menetapkan bayaran bagi yang berkeinginan mengucup Hajar Aswad. Mereka berketayap dan berjubah, sedangkan ilmu agama mereka tidaklah setinggi mana.

Mangsanya, jemaah haji wanita yang ingin mengucup Hajar Aswad, golongan inilah yang memimpin tangan jemaah wanita secara rapat, bahkan memeluk mereka dengan rapat, sedangkan hukumnya jelas adalah haram. Semuanya berlaku kerana tertipu dengan penampilan, sedangkan ilmu tidak boleh diukur dengan penampilan luaran semata-mata.

Saya mengajak pembaca untuk merenung sebuah hadis dengan sanad yang da’if daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Akan timbul pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). ALLAH SWT berfirman kepada mereka: “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku? Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada-Ku? Demi kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi dalam kalangan mereka sendiri sehingga orang yang alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu).” (Riwayat al-Tirmidzi).

Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW secara jelas mengingatkan kita, antara peristiwa akhir zaman, munculnya golongan pendusta agama yang mencari habuan dunia untuk kepentingan diri sendiri.Dalam hadis yang lain, riwayat Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara tanda-tanda kiamat ialah diangkatnya ilmu dan berleluasanya kejahilan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis lain pula riwayat Amr bin al-‘As r.a Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH tidak mencabut ilmu sekali gus daripada hamba-Nya tetapi Dia mencabut ilmu itu dengan mematikan para ulama sehingga tiada lagi ulama yang tinggal. Pada saat itu, manusia akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang yang bodoh. Dan ketika pemimpin itu ditanya sesuatu, maka akan keluar daripadanya fatwa yang tidak berasaskan ilmu sehingga mereka tersesat dan menyesatkan.” (Riwayat al-Bukhari).

Kedua-dua hadis itu memberi gambaran pada akhir zaman apabila orang jahil mengambil tempat para ulamak, akhirnya umat akan hancur lebur dalam kebinasaan.

* Datuk Mohamad Din Yusof ialah penulis buku Covid-19 dan pengasas UTAS Travel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!