Usah eksploitasi vaksin percuma

No Image Caption
A
A
A

KERAJAAN Malaysia telah memperuntukkan RM5 bilion bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan menampung kos perolehan vaksin dan mengurus pelaksanaan program tersebut.

Peruntukan berbilion ringgit itu dibelanjakan untuk memperoleh bekalan vaksin secukupnya yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dunia agar Malaysia segera bebas daripada ancaman Covid-19.

Namun, inisiatif cukup murni pihak kerajaan itu telah dicemari dengan ketamakan segelintir anasir negatif yang sanggup mengeksploitasi penawaran suntikan vaksin Covid-19.

Menurut kolum lidah pengarang akhbar harian Makkal Osai, pengeksploitasian tawaran suntikan vaksin Covid-19 mendapat perhatian pihak berkuasa selepas Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendakwa ada syarikat swasta bertindak menjual dua dos suntikan vaksin pada harga RM400.

Presiden MMA, Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy yang kesal dengan perbuatan itu menyatakan syarikat berkenaan telah mempergunakan kebenaran fasilitasi kesihatan swasta dan bertindak bercanggah dengan hasrat kerajaan.

Sekiranya syarikat swasta itu dibuktikan telah menjual dos suntikan vaksin, pihak MMA akan mengambil tindakan sewajarnya agar perbuatan itu tidak diulangi pihak lain.

Senario pengeksploitasian tawaran suntikan vaksin semakin berterusan apabila Rabu lalu, tiga individu ditahan dalam serbuan berasingan di Putrajaya dan Brickfields selepas disyaki terbabit dalam penjualan vaksin Covid-19. Serbuan itu susulan laporan polis daripada Pegawai Penyelidik Covid-19, Immunisation Task Force (CITF) yang mendapati orang awam dihubungi melalui telefon oleh suspek secara rawak serta menawarkan RM420 bagi dos suntikan vaksin.

Makkal Osai menjelaskan bahawa sehingga hari ini, Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjual vaksin.

Artikel Berkaitan:

Rakyat dinasihatkan tidak menerima tawaran suntikan dos vaksin daripada mana-mana pihak yang tampil menjual vaksin Covid-19, yang sebenarnya diberi secara percuma sahaja.

Menurut akhbar harian itu lagi, pengeksploitasian tawaran suntikan vaksin Covid-19 telah menjadi satu bebanan baharu kepada orang ramai yang terhimpit dengan krisis pandemik.

Makkal Osai melontar persoalan kepada pihak berkuasa – punca wujud pengeksploitasian tawaran suntikan vaksin dan solusi untuk memerangi syarikat serta individu-individu kurang bertanggungjawab itu.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi peringatan kepada orang ramai melalui laman sosial KKM tentang bekalan vaksin tulen dan ia hanya dibekalkan oleh pihak kerajaan serta tidak boleh dijual di pasaran negara.

KKM juga mengatakan bahawa vaksin yang dijual itu mungkin palsu ataupun tiruan dan boleh mengundang bahaya kepada nyawa seseorang.

Bukan itu sahaja, KKM menekankan kepada rakyat bahawa kos pembelian vaksin Covid-19 sepenuhnya ditanggung pihak kerajaan. Tiada sebarang baya-ran dikenakan tidak kira di mana seseorang itu menerima janji temu sama ada di fasiliti kesihatan KKM, klinik ataupun di hospital swasta.

KKM memberi amaran dan meminta orang awam membuat laporan polis jika mereka diminta membayar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 atau slot janji temu.

Program vaksinasi kebangsaan yang berjalan dengan lancar setakat ini telah menyempurnakan pemberian suntikan vaksin sehingga dos kedua kepada kira-kira 1.9 juta rakyat Malaysia.

Kendatipun pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan itu menerima pelbagai kritikan misalnya dikatakan lambat, namun pihak kerajaan dan KKM melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran ditetapkan bagi membina komuniti berimuniti tinggi.

Pengeksploitasian tawaran suntikan vaksin Covid-19 harus dihentikan serta-merta dan undang-undang yang ketat wajib diperkenalkan agar perbuatan bercanggah dengan misi nasional dapat dicegah.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!