Terpaksa berhutang demi sesuap nasi
SHAH ALAM - Bilangan peniaga kecil yang meminjam daripada syarikat pinjaman berlesen didapati meningkat, bukan sahaja ketika ini malah sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 demi kelangsungan hidup.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, syarikat pinjaman berlesen menjadi pilihan peniaga kecil untuk membuat pinjaman ekoran birokrasi yang terlalu ketat oleh pihak bank.
“Syarikat ini senang kalau nak buat pinjaman, kita ada bisnes kita boleh pinjam dan peminjam akan dapat duit dengan segera.
“Berbanding dengan bank, dengan syarat ketat, yang mana tak bermakna kita meminjam hari ini esok boleh dapat, ia memakan masa yang lama.
“Apabila bank permudahkan urusan pinjaman saya rasa peniaga tidak akan meminjam dengan syarikat berkenaan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mengulas lanjut, Rosli berharap kerajaan dapat menyegerakan pemberian geran khas kepada peniaga kecil sebanyak RM1,000 selepas keadaan kembali pulih.
Jelas beliau, ia bagi memastikan ekonomi peniaga kecil yang sebelum ini terhenti seketika kembali bergerak seperti sediakala.
“Kalau tidak bagi geran, peniaga kecil tidak akan ada modal pusingan untuk kembali meniaga.
“Jadi apabila ekonomi peringkat bawahan kembali bergerak ia juga akan memberi kesan positif kepada sektor pemborongan yang sedikit sebanyak bergantung kepada peniaga kecil.“Apabila penjaja kecil aktif, orang akan datang membeli seterusnya akan membantu memulihkan ekonomi negara,” katanya.
Aduan kes pinjaman berlesen meningkat 30 peratus
Sementara itu, aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membabitkan peminjam daripada syarikat pinjaman berlesen yang bermasalah meningkat 30 peratus sejak awal tahun ini.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, beliau bimbang kes tersebut akan terus meningkat kerana kebenaran operasi sektor kredit komuniti atau pemberi pinjam wang berlesen ketika Sekatan Pergerakan Penuh sekarang.
“Sepanjang tahun lepas, kami terima kes aduan melibatkan nilai pinjaman kira-kira RM15 juta dalam sebulan. Ia meningkat sebanyak 30 peratus sejak Januari lalu. Kita bimbang ia akan terus meningkat dalam keadaan sekarang,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Mengulas lanjut, Nadzim mendakwa, walaupun berlesen di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, syarikat tersebut sentiasa mempunyai cara untuk memanipulasi peminjam lebih-lebih lagi membabitkan individu yang mudah tertipu.
“Kerajaan perlu pantau syarikat pinjaman wang berlesen dengan lebih ketat bagi memastikan mereka tidak mengambil kesempatan ke atas peminjam yang terdesak,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jiwa tertekan, rakyat buntu cari wangBaik buruk syarikat kredit berlesen beroperasiPinjaman berlesen tambah masalah rakyatMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!