MS sifatkan tonik mujarab buat Jun Hoong
PERSEKUTUAN Renang Malaysia (MS) menyifatkan keputusan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memberikan semula tiket slot Sukan Olimpik 2020 kepada bekas juara dunia Cheong Jun Hoong sebagai tonik mujarab kepada atlet itu yang akan mengibarkan cabaran negara di Tokyo bulan depan.
Malah menurut Setiausaha Agung MS, Mae Chan, pihaknya berharap dengan keputusan itu juga akan membolehkan Jun Hoong lebih fokus dalam misi meraih pingat seperti yang disasarkan jurulatihnya sebelum ini.
"MS amat gembira untuk Jun Hoong selepas FINA melakukan penilaian semula dan kembali membenarkan Jun Hoong kembali beraksi di Sukan Olimpik Tokyo bulan depan.
"Keputusan FINA secara tidak langsung memberi peluang untuk Jun Hoong kembali membuktikan keupayaan sebenarnya di pentas temasya sukan terbesar dunia berkenaan.
"Apa yang boleh saya kongsikan pada ketika ini, keputusan FINA ini menyemarakkan lagi semangat Jun Hoong untuk melakukan persediaan lebih rapi dengan melipatgandakan latihan sebagai persediaan ke Tokyo," katanya.
Atlet berusia 31 tahun itu akan menyertai Pandelela Rinong Pamg (10m platform individu dan 10m platform seirama), Nur Dhabitah Sabri (3m papan anjal individu), Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal individu) dan Leong Mun Yee (10m platform seirama) di Tokyo.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!