Pinjaman berlesen tambah masalah rakyat
SHAH ALAM - Kebenaran operasi terhadap premis pinjaman wang berlesen ketika pandemik hanya akan membantu ekonomi rakyat untuk jangka masa pendek semata-mata.
Penganalisis ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ketika rakyat dalam keadaan terdesak, pembukaan operasi tersebut tentunya akan menjebak mereka sebagai peminjam seterusnya berdepan masa depan yang sukar.
Menurutnya, meskipun ia akan membantu rakyat berbelanja dan menggerakkan ekonomi negara, adalah tidak wajar membiarkan rakyat terpaksa memilih kaedah pinjaman yang boleh menjerat mereka seterusnya menjadi punca kepada masalah sosial di negara ini.
“Rakyat sedang terdesak ketika ini. Perlukan kewangan hanya untuk teruskan hidup, untuk makan. Kita sudah dengar banyak masalah tentang pinjaman berlesen ini, banyak yang memberi kesan negatif.
“Golongan yang mahu wang ini mungkin mereka hanya memerlukan kurang RM1,000 hingga RM2,000 sahaja untuk makan. Tapi bayangkan apabila mereka terpaksa membayar balik dengan jumlah yang berlipat kali ganda tapi mereka tiada wang sebanyak itu.
“Jadi, jika kerajaan mahu benarkan juga operasi pinjaman berlesen ini, kerajaan perlu pantau syarat pinjaman dan kaedah pembayaran balik termasuk nilai kadar faedah yang dikenakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Jelas beliau, jaringan keselamatan rakyat perlu diperbetulkan agar rakyat mempunyai kewangan yang cukup untuk makan dan perubatan tanpa perlu membuat pinjaman tersebut.
Katanya, ini termasuk untuk golongan peniaga yang sepatutnya dibantu oleh agensi-agensi kerajaan bukannya membiarkan mereka menjadikan premis pinjaman wang sebagai tempat dituju.
“Apabila permintaan terhadap perkhidmatan ini sangat tinggi ia akan menjadi barah kepada masyarakat sedangkan entiti ini bukannya dipantau oleh Bank Negara.
“Mereka hanya berdaftar bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), tanpa perlu menyatakan jumlah pinjaman yang dikeluarkan, serta berapa kadar faedah yang dikenakan.
“Jadi apa-apa pinjaman berlesen hendaklah di bawah Bank Negara bagi memastikan ia terkawal dan beroperasi dengan lebih beretika,” katanya.
Pada Rabu, kerajaan membenarkan sektor kredit komuniti (KK) atau pemberi pinjam wang (PPW) yang berdaftar bawah KPKT untuk beroperasi berkuat kuasa serta-merta.
Kena nilai keupayaan diri
Sementara itu, orang ramai yang ingin meminjam wang daripada syarikat kredit berlesen dinasihatkan menilai keupayaan diri mereka untuk membayar hutang terlebih dahulu.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ketidakupayaan untuk membayar semula hutang akan menjerat diri orang ramai dengan belenggu hutang yang mungkin berlarutan dalam tempoh lama.
“Amalan berhutang itu sebaiknya perlu dinilai dengan penuh teliti supaya tidak menyebabkan berlaku kesempitan kewangan pada masa akan datang.
“Sekiranya kita tidak dapat memastikan keupayaan kita untuk membayar hutang, maka adalah lebih baik untuk tidak berhutang,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata, untuk tempoh akan datang, situasi pandemik Covid-19 telah memberikan rakyat satu pengajaran yang penting iaitu mengenai literasi kewangan.
Justeru, katanya, budaya menyimpan dan melabur serta berbelanja secara berhemah adalah perkara yang patut diamalkan supaya rakyat sentiasa berada dalam keadaan yang bersedia untuk berdepan saat kecemasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!