'Bukan Pas yang mahu jadi PM'
KOTA BHARU – [DIKEMASKINI] Pas tidak bercadang untuk menjadi Perdana Menteri dan tiada sebab untuk mereka membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Pas hanya mempunyai 18 kerusi sahaja dan sudah pasti ia bukan keutamaan mereka untuk menjadi Perdana Menteri.
“Siapa yang nak jadi Perdana Menteri? Kami tak pernah beritahu nak jadi Perdana Menteri sebab kami pun hanya ada 18 kerusi dan mustahil untuk kami yang nak bawakan usul tidak percaya ini.
“Sepatutnya dia yang jawab isu ini dan bukan kita. Kita ada maklumat tetapi kita tak cakap sesiapa pun yang nak buat usul itu. Siapa yang makan cili dia yang rasa pedasnya,” katanya ketika mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat kenyataan agar Pas tidak menggunakan politik untuk menabur fitnah dan pembohongan berkaitan isu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Mohd Amar berkata demikian selepas merasmikan program ‘Revisit Kelantan 2019’ di Pintu Gerbang Medan Ilmu, Kota Bharu, malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Izani Hussin dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.
Manakala, mengulas mengenai PRK Semenyih, Mohd Amar berkata, Pas akan turun membantu seperti lazimnya mengikut keperluan.
Menurutnya, Pas telah turun sebelum hari penamaan calon dan tiada isu yang mendakwa tiada pemimpin kanan Pas yang turun.
“Siapa pemimpin kanan yang tak turun tu? Naib Presiden dah turun dan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan pun dah turun. Kita tak turun hari penamaan calon bukan bererti kita tak bantu.
“PH siapa yang turun cuba senaraikan kepada kita. Saya tahu ramai pemimpin PH yang tak turun. Mereka yang kena jawab itu dulu sebab mereka yang bertanding. Kami tak turun pun tak apa sebab bukan kami yang bertanding,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!