Pusat hiburan bawah tanah diserbu, 60 individu ditahan
KUALA LUMPUR - Seramai 60 individu ditahan di sebuah pusat hiburan di bawah tanah sebuah hotel di sini dalam serbuan polis, pada Sabtu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam operasi kira-kira jam 9.30 malam itu, polis menahan seramai 60 individu warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 43 tahun termasuk 23 wanita.
"Tangkapan membabitkan seorang penjaga kaunter, 12 pekerja serta 47 pengunjung terdiri daripada 29 lelaki dan 18 wanita.
"Pelbagai barang dirampas antaranya resit perniagaan, komputer riba, peralatan audi, kerusi dan meja selain botol minuman keras," katanya pada Ahad.
Menurut Nasri, siasatan awal mendapati pengunjung pusat hiburan berkenaan mula memasuki premis di tingkat bawah tanah itu seawal jam 1 petang.
Kata beliau, premis berkenaan dikesan beroperasi bermula jam 2 petang sehingga 10 malam dan ketika serbuan dilakukan pusat hiburan itu baru beroperasi sejak tiga hari lalu selepas selesai ubah suai.
"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan, Seksyen 76 Akta Eksais, Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.
Difahamkan, pusat hiburan itu kerap diserbu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu selepas sering beroperasi tanpa kebenaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!