Rais Yatim sahkan menghadap Agong Selasa ini
SHAH ALAM - Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mengesahkan beliau bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa ini.
Menurut Rais, sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong itu akan berlangsung pada jam 11 pagi dan antara yang akan dibincangkan ialah mengenai isu persidangan Parlimen.
"Saya bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan menghadap Seri Paduka Baginda dan selepas itu pihak istana akan keluarkan kenyataan rasmi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan Rais dan Azhar Azizan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa dan masing-masing telah menerima jemputan pada Jumaat.
Menurut seorang sumber, Yang di-Pertuan Agong dipercayai akan berbincang dengan mereka berhubung persidangan semula Parlimen sebelum darurat berakhir pada 1 Ogos.
Pada Jumaat, Rais dan Azhar Azizan dalam kenyataan bersama memaklumkan, persidangan Parlimen secara hibrid dijangka diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.
Bagaimanapun, mereka turut menyatakan beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid itu berjalan lancar.
Sehubungan itu, satu sidang khas Parlimen akan diadakan awal Ogos dengan andaian semua aspek perundangan mengenai persidangan alternatif berkenaan dapat diselesaikan akhir Julai dan sekiranya ia diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!