PGA rampas barangan seludup

Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menjumpai beberapa kampit beras, beras pulut dan beberapa kotak berisi ayam sejuk beku.
Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menjumpai beberapa kampit beras, beras pulut dan beberapa kotak berisi ayam sejuk beku.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas pelbagai barangan seludup berjumlah RM12,310 selepas menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara di Jalan Kasban-Jeram Perdah, di sini pada Sabtu.

Kenderaan yang sarat membawa barangan seludup dari Thailand itu ditahan pada jam 11.15 malam.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika rondaan sepasukan anggota terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota PGA telah menghampiri kenderaan itu dan suspek kemudian memecut laju kenderaannya bagi mengelakkan diri daripada ditahan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, bagaimanapun penyeludup itu kemudian memberhentikan kereta yang dipandu dalam keadaan mengejut di tepi jalan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kereta menjumpai beberapa kampit beras, beras pulut dan beberapa kotak warna coklat yang berisi ayam sejuk beku.

Azhari berkata, pemeriksaan di Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Jeram Perdah menjumpai beras pulut seberat 150 kilogram (kg), 125kg beras dan ayam sejuk beku seberat 276kg.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Perkhidmatan Malaysia 2011 serta Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi Dan Beras 1994.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!