Suspek kes tipu pekerjaan 47 rakyat Malaysia direman
KUCHING - Seorang suspek dalam kes penipuan pekerjaan sehingga mengakibatkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja baru-baru ini direman selama empat hari mulai hari ini.
Permohonan reman ke atas lelaki tempatan berusia 35 tahun itu dibuat oleh pegawai siasastan kes berkenaan Asisten Superintendan Pricha Azin di hadapan Pendaftar Mahkamah Kuching Dora Undau di Mahkamah Majistret di sini.
Permohonan perintah tahanan reman dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk melanjutkan siasatan terhadap lelaki yang berbaju kelabu semasa dibawa ke mahkamah.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani berkata suspek terbabit ditahan dirumahnya.
Semalam beliau mengesahkan penangkapan suspek di sini pada pukul 3.00 petang.
Sehingga kini, 23 orang iaitu 18 lelaki dan lima wanita telah tampil membuat laporan polis berhubung kes ini.
Baru baru ini Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kertas siasatan dibuka berdasarkan Seksyen 26 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Kesemua 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja itu tiba di tanah air dari Kemboja pada 17 Feb lepas.
Sejumlah 43 orang iaitu 40 dari Sarawak dan tiga dari Sabah diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sementara empat lagi dari Semenanjung iaitu tiga dari Selangor dan seorang berasal dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!