Mat Sabu masuk hospital, jalani pembedahan
SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dimasukkan ke hospital pada Khamis lalu bagi menjalani pembedahan kecil.
Perkara tersebut disahkan Pejabat Presiden Amanah dalam satu hantaran yang memaklumkan pembedahan tersebut berjalan dengan lancar dan Ahli Parlimen Kota Raja itu kini berada dalam keadaan stabil.
“Insya-ALLAH beliau akan dibenarkan untuk keluar daripada wad pada esok bagi memulakan tugas seperti biasa,” kata kenyataan tersebut di Facebook pada Ahad.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika dihubungi Sinar Harian tidak dapat memberi sebarang maklum balas berkaitan perkara tersebut.
“Saya kini berada di Johor dan perlu dapatkan pengesahan terlebih dahulu pagi ini,” katanya.
Pada Ahad, tular di Twitter sekeping gambar menunjukkan Mohamad Sabu sedang terbaring di atas katil hospital yang dikongsi seorang pemilik akaun Twitter bernama Antonio Samad.
“Semoga abang @MSabu_Official dikurniakan kesembuhan, dipermudahkan urusan. InsyaAllah,” ciapnya di Twitter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!