Menteri diminta jelas punca kes bunuh diri meningkat
KUANTAN- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba didesak supaya menjelaskan pada kadar segera punca kematian rakyat negara ini seperti bunuh diri yang dilaporkan semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, penjelasan ini meliputi statistik rasmi Daftar Bunuh Diri Kebangsaan mengikut negeri yang direkodkan sejak Mac tahun lalu sehingga Jun tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19.
Menurutnya, pasukan perubatan kesihatan mental juga perlu mengenalpasti sebab yang mendorong rakyat negara ini mengambil jalan singkat membunuh diri.
"Berdasarkan punca-punca yang dikenalpasti itu, kita ingin tahu apakah langkah-langkah yang sudah, sedang dan akan diambil kerajaan untuk membendung gejala ini," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.
Fuziah berkata, langkah-langkah ini perlu untuk menghentikan tindakan mengambil nyawa sendiri dalam kalangan rakyat negara ini.
"Persoalan ini saya terpaksa bawa kepada domain awam kerana Parlimen tidak bersidang untuk bertanya dalam sidang Dewan Rakyat," katanya.
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!