Warga Nigeria dalang Love Scam, Parcel Scam tumpas

Sepasukan pegawai dan anggota JSJK memberkas enam lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan dalam serbuan.
Sepasukan pegawai dan anggota JSJK memberkas enam lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan dalam serbuan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu sindiket penipuan Love Scam dan Parcel Scam yang didalangi warga Nigeria tumpas dalam serbuan berasingan di sekitar Kajang, Selangor pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sepasukan pegawai dan anggota JSJK memberkas enam lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barang yang disyaki digunakan dalam sindiket itu termasuk lapan komputer riba, 17 telefon bimbit, dua modem wifi serta dua kad mesin juruwang automatik (ATM).

"Siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak lima tahun lalu itu menipu warga tempatan dan luar negara selain mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya lapan kes," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohd Kamarudin memberitahu, mereka memasuki Malaysia dengan menggunakan visa pelajar dan visa lawatan sosial tetapi terus tinggal di dalam negara secara haram dengan melalukan kegiatan penipuan walaupun dokumen itu sudah tamat tempoh.

"Siasatan juga mendapati suspek beroperasi dalam dua kumpulan berbeza iaitu satu kumpulan mencipta akaun palsu di media sosial dengan memperdaya mangsa manakala satu lagi berperanan untuk mencari keldai akaun.

"Sindiket ini juga bersekongkol dengan warga tempatan yang akan menyamar sebagai pegawai kastam atau staf syarikat kurier untuk memperdaya mangsa," katanya.

Tegas Mohd Kamarudin, kesemua suspek berusia 33 hingga 42 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.

Artikel Berkaitan:

Justeru, polis mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan kenalan baru yang ingin menjalin cinta di media sosial terutama mereka yang menjanjikan hadiah sebagai tanda sayang.

"Jangan mudah terpedaya dengan sebarang panggilan telefon, WhatsApp, mesej daripada pihak kastam atau syarikat kurier yang kononnya memaklumkan menerima bungkusan untuk pembayaran. Jangan sesekali benarkan akaun bank digunakan oleh pihak lain," katanya.

Jelas beliau, sila hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/ 03-26101599 atau WhatsApp ke CCID Infoline di talian 013-2111222 untuk menyalurkan maklumat atau jenayah komersial di persekitaran anda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!