Cadang golongan ibu terus divaksin selepas bersalin: Rina
PETALING JAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan supaya para ibu yang bersalin di hospital diberikan suntikan vaksin Covid-19 sebelum pulang ke rumah.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah itu bagi memudahkan mereka mendapatkan vaksin, namun perlu berdasarkan nasihat daripada pakar.
“Saya nak cadangkan agar ibu-ibu selepas bersalin dapat diberikan vaksin di hospital sekiranya bersesuaian...maknanya, tidak perlu balik ke rumah dan kena datang semula ke PPV (pusat pemberian vaksin) untuk dapatkan vaksin.
“Namun, semuanya bergantung kepada pakar sekiranya dirasakan sesuai berbuat demikian,” katanya selepas meninjau proses vaksinasi ibu mengandung di PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini pada Ahad.
Seramai 2,600 wanita hamil dijangka menerima suntikan vaksin di PPV itu hari ini.
Beliau serta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengiringi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan lawatan ke PPV berkenaan.
Menurut Rina, hampir 110,000 wanita hamil telah mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi melalui MySejahtera dan setakat ini, seramai 11,000 individu telah mendapat janji temu.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar pengasuh kanak-kanak diberikan vaksinasi menerusi 49 Klinik Nur Sejahtera, sekali gus menjadikan klinik berkenaan sebagai PPV khusus kepada kumpulan itu.
Mengenai vaksinasi orang kurang upaya (OKU) pula, Rina berkata pendaftaran dalam kalangan itu masih pada tahap rendah dengan 280,000 individu OKU telah berdaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“KPWKM akan memantau perkara ini kerana kita ada senarai OKU yang berdaftar dengan pihak kementerian dan kita akan buat tindakan seterusnya agar mereka bukan sahaja didaftarkan tetapi juga menerima vaksin secepat mungkin,” katanya.
Rina berkata kementerian turut mengadakan perbincangan dengan syarikat e-hailing bagi membantu memudahkan golongan OKU yang tidak mempunyai kemudahan untuk bergerak keluar.
Selain PPV pandu lalu pertama untuk kumpulan OKU di Menara Sime Darby Plantation di Ara Damansara, beliau berkata, kementerian akan memperluaskan PPV seumpama itu di negeri-negeri lain bagi kumpulan sasar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!