Sempat salam tangan mak ayah sebelum maut kemalangan

Kereta yang merempuh mangsa dalam dalam perjalanan ke sekolah. Gambr kecil: Siti Maisarah Safari
Kereta yang merempuh mangsa dalam dalam perjalanan ke sekolah. Gambr kecil: Siti Maisarah Safari
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Rahman Andak meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 79 Jalan Johor Bahru - Air Hitam, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Maisarah Safari, 17, berasal dari Taman Murni Jaya, Machap, di sini.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta dari arah Johor Bahru menghala ke Air Hitam gagal memotong sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Mangsa menunggang motosikal seorang diri gagal mengelak kereta tersebut sebelum berlanggar hingga menyebabkannya tercampak ke bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Machap di sini.

"Pemandu kereta yang berumur 41 tahun dan berasal dari Kampung Batu 7 tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan reman serta menjalani ujian saringan air kencing untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Safari Ahmad Sujaid, 53, ketika ditemui di Unit Forensik HEBHK berkata, dia dan isteri, Norlinda Kadir, 47, mengetahui kejadian menimpa anak keempat daripada lima beradik itu selepas dihubungi salah seorang rakan anaknya jam 6.50 pagi.

"Kali terakhir saya jumpa arwah adalah pagi tadi sebelum dia keluar pergi ke sekolah dan arwah sempat salam tangan saya dan isteri. Ketika itu memang tidak ada sebarang kelainan padanya.

Artikel Berkaitan:

"Semalam arwah sempat picit belakang saya dan dia beritahu hendak cuti pada hari ini kerana penat terlibat sukan di sekolah dan saya minta dia bercuti pada hari Selasa atau Rabu ini," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, dia dan keluarga reda dengan kejadian yang berlaku dan menyifatkan arwah sebagai seorang anak ceria dan banyak membantu dia dan isterinya serta disenangi oleh rakan-rakan dan guru-gurunya di sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!