PDRM siasat anggota keluar kenyataan jelik terhadap pelatih wanita
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang jurulatih sebuah pusat latihan polis (Pulapol) kerana mengeluarkan kenyataan jelik terhadap pelatih wanita.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia mencemarkan integriti PDRM serta tahap profesionalisme di institusi Pulapol.
"Siasatan dalaman terhadap jurulatih polis itu telah dimulakan dan sehingga siasatan diperoleh, anggota itu akan dipindahkan untuk membuat tugas am pejabat.
"Pucuk pimpinan PDRM menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kenyataan, perbuatan serta perilaku yang boleh ditafsirkan sebagai sexist dan seumpamanya dalam kalangan warga PDRM," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tegas Zaini, sebarang salah laku akan diambil tindakan tegas dan segera di bawah peruntukan undang-undang serta peraturan tatatertib pegawai awam sedia ada.
Pada Ahad, tular di media sosial satu video berdurasi 23 saat memaparkan seorang anggota polis lelaki yang bertugas sebagai jurulatih di sebuah Pulapol dikatakan mengeluarkan kenyataan jelik terhadap pelatih wanita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!