Sultan Kedah kurnia barangan keperluan

Bakar (kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian kurniaan Sultan Sallehuddin kepada Ammar (kiri) untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di negeri ini.
Bakar (kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian kurniaan Sultan Sallehuddin kepada Ammar (kiri) untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di negeri ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan keluarga diraja berkenan mengurniakan sumbangan barangan keperluan harian kepada golongan memerlukan di negeri ini.

Kurniaan itu adalah atas keprihatinan baginda berikutan terdapat keluarga yang terputus bekalan makanan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuatkuasa 1 Jun lalu.

Sultan Sallehuddin bertitah, kurniaan itu diharap dapat meringankan beban keluarga terlibat selain memastikan rakyat Kedah mendapat perhatian sewajarnya.

Kurniaan baginda itu disampaikan oleh Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Bakar Din kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim pada Ahad.

Titah perkenan Sultan Sallehuddin itu dizahirkan menerusi sidang video kepada 12 Pegawai Daerah yang juga penyelaras Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang menyelaras dan mengagihkan keperluan dan bantuan kepada penduduk terjejas sepanjang PKP.

“Penyertaan syarikat korporat, konglomerat, pertubuhan serta individu di negara ini amat dialu-alukan untuk memberikan sumbangan bagi membantu golongan memerlukan terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19,” titah Sultan Sallehuddin.

Baginda berharap usaha murni itu dapat diteruskan pada masa hadapan supaya rakyat dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

“Beta berharap rakyat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat dibendung,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!