Pemberian vaksin orang asli dipercepat
KUALA KRAI - Kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada komuniti orang asli di seluruh negara menerusi bekalan sedia ada termasuk jenis Sinovac.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, langkah diambil sebagai perlindungan awal kepada komuniti itu walaupun sebelum ini dinyatakan mereka akan dibekalkan dengan suntikan vaksin jenis CanSino yang dijangka hanya tiba pada hujung Julai ini.
Katanya, keputusan terbaharu oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) itu meluluskan penggunaan CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) di kawasan pedalaman termasuk penempatan orang asli.
“CanSino dan J&J mudah kerana memerlukan satu suntikan sahaja dan dijangka diterima pada hujung Julai ini, tetapi kita tidak mahu kerana menunggu CanSino menyebabkan perlindungan vaksin kepada orang asli tertangguh.
“Jadi, sebab itu kita gunakan bekalan yang ada seperti biasa dan apabila CanSino tiba, orang asli akan dapat keutamaaan dari segi penggunaan vaksin jenis itu,” katanya kepada pemberita selepas Program Outreach Vaksinasi di perkampungan orang asli di Kampung Kluat, di sini pada Ahad.Ahmad Amzad
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Seramai sembilan orang asli menerima vaksin dos pertama dan turut melengkapkan dos kedua vaksin pada program itu ialah 400 keluarga peneroka di Kampung Bahagia, di sini.
Ahmad Amzad berkata, menjadi komitmen kerajaan dalam memastikan seluruh rakyat di negara ini mendapat perlindungan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tanpa mengira kekangan termasuk lokasi untuk diakses.
“Bukan mudah hendak sampai ke penempatan orang asli yang sangat jauh contohnya di Kluat ini, kami terpaksa menaiki feri dan menempuh perjalanan menggunakan pacuan empat roda (4x4) meredah jauh ke dalam hutan lebih sejam.
“CanSino bukan sahaja melindungi orang asli malah memudahkan kerja-kerja logistik oleh pihak jabatan kesihatan dalam usaha pemberian suntikan vaksin kepada orang asli dan juga mereka yang tinggal di pedalaman hutan serta pulau-pulau terpencil kerana tidak perlu pergi dua kali,” katanya.Ahmad Amzad
Menurutnya, keperluan suntikan ketiga vaksin (booster) pula masih dalam peringkat penelitian dan bukan sesuatu yang tergesa-gesa.
“Perkara itu sedang diteliti pakar-pakar di seluruh dunia pada ketika ini sebab kita masih belum dapat memastikan tahap antibodi yang ada terhadap vaksin dua dos yang telah diberikan sama ada boleh bertahan setahun ke, dua tahun atau tiga tahun,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!