Vaksin Sinovac untuk penduduk Tioman

Vaksin dibawa ke tempat penyimpanan setibanya di Pulau Tioman menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dekat sini, hari ini. Foto Bernama
Vaksin dibawa ke tempat penyimpanan setibanya di Pulau Tioman menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dekat sini, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Selepas berbulan-bulan sepi tanpa kehadiran pelancong, penduduk Pulau Tioman di sini hari ini, menerima 'tetamu penting' terdiri daripada 50 kakitangan Pejabat Kesihatan Rompin yang membawa bersama 'buah tangan' berupa 1,700 dos vaksin Covid-19.

Penyelaras vaksin daerah Rompin Dr R Monysyha Atri berkata, semua kakitangan terlibat akan bertugas di enam pusat pemberian vaksin (PPV) di Kampung Tekek, Kampung Salang, Kampung Mukut, Kampung Paya, Kampung Genting dan Kampung Juara yang diwujudkan di pulau itu.

"Kakitangan terlibat dibawa ke Pulau Tioman menggunakan feri manakala vaksin jenis Sinovac diterbangkan dari Hospital Rompin dengan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menjamin suhu simpanan tidak berubah.

"Ini kerana perjalanan laut mengambil masa selama dua jam dari jeti Teluk Gading di tanah besar untuk ke pulau dan sudah pasti kita tidak mahu mengambil risiko dengan jumlah vaksin yang dibawa," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Kampung Tekek pada Ahad.

Turut serta dalam program vaksinasi itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Pegawai Daerah Rompin Ahmad Nasim (repeat: Nasim) Mohd Sidek dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang Mohd Zairasyahli Shah Zakaria.

Dr R. Monysyha Atri berkata, pihak mereka juga akan terus ke rumah penerima vaksin sekiranya dalam kalangan penerima mempunyai kekangan untuk ke PPV atas faktor kesihatan atau uzur.

Ahmad Nasim pula berkata, suntikan vaksin fasa pertama kepada penduduk Pulau Tioman berlangsung selama enam hari bermula esok (Isnin) melibatkan 1,700 individu dengan keutamaan kepada mereka yang berisiko tinggi daripada keseluruhan 3,500 penduduk pulau tersebut.

"Kita menyewa khas feri untuk membawa petugas kesihatan kerana tiada feri penumpang beroperasi buat masa ini sedangkan proses vaksinasi penduduk perlu disegerakan sebelum tiba musim tengkujuh yang tidak selamat untuk pengangkutan air berada di laut.

Artikel Berkaitan:

"Selain cabaran logistik, kita juga perlu memikirkan kekangan capaian internet di sini. Jika capaian lemah, maka pendaftaran penerimaan vaksin perlu dilakukan secara manual sebelum data MySejahtera penerima dikemas kini di tanah besar," katanya.

Ahmad Nasim berkata pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Tioman juga diharapkan dapat memberi kelegaan dan perlindungan kepada mereka serta pelancong untuk memilih pulau itu sebagai destinasi bercuti, apabila sektor pelancongan dibenarkan beroperasi semula.

Sementara itu, Ketua Kampung Tekek Zurkarnaini A Hamid berkata, berita 'kehadiran vaksin' menjadi bualan penduduk sejak dua minggu lepas, dengan majoriti mereka mahu segera disuntik mengambil kira pengalaman penularan wabak itu di salah sebuah kampung di situ sebelum ini.

"Selain cakap mulut ke mulut, kami juga berkongsi maklumat sahih daripada pihak berkuasa tentang kepentingan mengambil vaksin Covid-19 dari kumpulan WhatsApp supaya mereka yang masih ragu-ragu mengenai vaksin boleh berubah fikiran.

"Ini peluang kepada penduduk Pulau Tioman (menerima vaksin) dan kita tidak mahu ada yang terlepas... bukan mudah untuk kakitangan kesihatan untuk ke sini kerana ia memerlukan perancangan rapi dan kos yang tinggi," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!