Premis makanan beroperasi 6 pagi hingga 10 malam
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa Isnin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dilaksanakan setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.
“Sebelum ini, operasi melibatkan premis kedai makan dan restoran hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memperjelaskan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti ekonomi dan sosial bagi setiap fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurutnya, dalam fasa satu PPN, SOP am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih diguna pakai iaitu semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor-sektor perlu yang disenaraikan.
Beliau berkata, bagi fasa dua, senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan diperluaskan termasuk sektor pembuatan seperti automotif berkaitan kenderaan dan komponen; seramik; kilang perabot bagi tujuan eksport; getah; besi dan keluli serta simen.
“Sektor perdagangan dan pengedaran turut dibenarkan dalam fasa ini. Antaranya, kedai buku dan alat tulis; komputer dan telekomunikasi; barangan elektrik; kedai cuci kereta dan kedai gunting rambut.
“Kebenaran beroperasi adalah dari jam 8 pagi sehingga 8 malam,” ujarnya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari jam 7 sehingga 11 pagi dan terhad kepada enam komoditi sahaja melibatkan sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.
Walaubagaimanapun, katanya, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka manakala semua aktiviti sukan serta rekreasi secara individu, tidak bersentuhan fizikal dibenarkan.
"Bagi fasa tiga, semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi seperti spa, pedicure dan manicure serta pub dan kelab malam.
“Pergerakan rentas daerah dibenarkan sepanjang fasa ini manakala pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan. Dine-in di restoran juga terhad kepada dua orang satu meja," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan sektor pendidikan adalah tertakluk kepada Takwim Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi serta penilaian risiko semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, aktiviti pelancongan pula dibenarkan dengan syarat pelancongan dalam negeri sahaja manakala industri kreatif juga dibenarkan di fasa ini sebagai contoh acara langsung tanpa penonton.
"Fasa empat pula akan dilaksanakan apabila bilangan kes Covid -19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok.
"Fasa terakhir ini akan membolehkan semua kembali kepada normal kehidupan seharian yang mana hampir kesemua sektor dibenarkan sepenuhnya tertakluk kepada SOP ditetapkan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!