KPWKM, agensi agama tangani masalah komuniti berdepan tekanan
PASIR MAS - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam Negeri termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menangani masalah komuniti yang berdepan dengan tekanan.
Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, menerusi kerjasama tersebut pihak terlibat akan bersama-sama mencari jalan membantu komuniti yang menghadapi masalah.
“Pada peringkat awal iaitu Jumaat ini, kami akan mengadakan mesyuarat dengan Jakim terlebih dahulu untuk kami mendapat kerjasama bagaimana pihak jabatan agama dapat bersama-sama membantu kami untuk menangani masalah komuniti kita yang tengah tertekan.
“Kami tidak mahu berlaku kejadian yang tidak elok termasuk membabitkan bunuh diri kepada mereka yang berdepan dengan cabaran (dalam tempoh ini),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita di Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Masjid Mukim Lubuk Stol, di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa laporan media sebelum ini yang melaporkan mengenai kejadian bunuh diri dipercayai akibat menghadapi tekanan ketika tempoh penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, selain daripada pembabitan jabatan hal ehwal agama itu pihaknya juga akan melibatkan kaunselor untuk tujuan yang sama.
“Kami juga akan melibatkan kaunselor di sekolah-sekolah, guru-guru yang berpengalaman yang telah pencen kerana mereka ini berpengalaman untuk sama-sama membantu dalam memberi khidmat kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Siti Zailah berkata, sehingga kini kementeriannya telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik ini.
Katanya, pihaknya sangat memahami risiko yang dialami rakyat termasuk kehilangan pekerjaan, pendapatan, peluang pekerjaan disebabkan penularan wabak Covid-19 tersebut.
“Antara inisiatif pihak kami adalah membantu mereka yang keputusan bekalan makanan, mereka boleh menghubungi talian hotline dari laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mempunyai 108 pejabat JKM di seluruh daerah dan jajahan.
“Selain itu talian kasih kami beroperasi 24 jam iaitu bebas tol di talian 15999 atau nombor WhatsApp 0192615999 untuk sebarang aduan, ataupun mereka memerlukan kaunseling mereka akan disambungkan ke bahagian kaunseling, iaitu kaunselor yang bertauliah,” katanya. - Bernama
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!