Perlu masa tambahan untuk stabilkan isyarat MEASAT 3

Foto http://www.measat.com/
Foto http://www.measat.com/
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan sepenuhnya proses penstabilan isyarat dan satelit yang kompleks, kata MEASAT Global Berhad (MEASAT).

Menurut kenyataannya pada Ahad berhubung perkembangan proses penyenggaraan MEASAT 3, ini berdasarkan tahap kemerosotan perkhidmatan sekejap-sekejap yang dikesan sepanjang pemantauan ke atas perkhidmatan satelit yang baru dibaik pulih itu.

“Bagi memastikan semua perkhidmatan beroperasi sepenuhnya pada tahap optimum dan bertahan untuk jangka panjang, kami meneruskan pemantauan dan penyelenggaraan dengan menugaskan satu pasukan bagi memastikan tahap prestasi yang disasarkan dicapai segera serta boleh dikekalkan sepenuhnya.

“Segala kesulitan adalah dikesali,” kata MEASAT.

Sebelum ini, anomali satelit yang dikesan pada MEASAT-3 pada Isnin lepas, dilaporkan telah diatasi dan terkawal sejak pagi Khamis.

MEASAT merupakan pembekal premium perkhidmatan komunikasi dan video kepada agensi penyiar utama, platform Direct-To-Home serta operator telekomunikasi.

Berkapasiti merentasi lima satelit komunikasi, MEASAT menyediakan perkhidmatan kepada lebih 150 negara mewakili 80 peratus penduduk dunia di seluruh Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Australia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!