Switzerland tetap berazam berikan aksi terbaik
BIARPUN layak ke saingan kalah mati menerusi status selaku pasukan ketiga terbaik, Switzerland tetap berazam untuk memberikan aksi terbaik pada saingan kalah mati bagi aksi Euro 2020, kelak.
Menurut pemain pertahanan skuad The Red Crosses itu, Ricardo Rondriguez, kesebelasan pemain dilihat telah bersedia untuk mengharungi aksi getir berkenaan dan seterusnya menghasilkan kejayaan yang diharap-harapkan.
“Pemain diharap tidak mensesiakan peluang beraksi di peringkat kalah mati kerana ia adalah penentu untuk mara ke suku akhir, separuh akhir dan final kelak.
“Oleh itu diharapkan kesebelasan pemain dapat memanfaatkan sepenuhnya aksi kalah mati kali ini ini dan seterusnya menempah slot ke saingan suku akhir,” katanya.
Untuk rekod, Switzerland menamatkan aksi kumpulan A pada kedudukan ketiga dengan empat mata di belakang Italy dan Wales.
Sementara itu, Rondriguez mengingatkan kesebelasan pemain agar sentiasa berhati-hati dalam mengharungi perlawanan berkenaan selain perlu mengurangkan kesilapan.
Katanya, dalam sukan bola sepak, apa sahaja boleh berlaku, terutamanya dalam kejohanan seperti ini di sepanjang perlawanan.
“Kita kini berada di peringakt 16 pasukan terbaik. Di peringkat ini apa sahaja boleh berlaku dan ia bukan jaminan bagi mana-mana pasukan untuk layak ke suku akhir nanti.
“Apa yang penting, kita perlu lebih kompak di benteng pertahanan dan tidak mensesiakan peluang-peluang yang dimiliki di depan pintu gol lawan.
“Kami juga akan beraksi dengan sepenuh hati bagi perlawanan ini. Contohnya, kami telah berlatih untuk mengambil sepakan penalti dan hampir kesemua pemain berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!