Khalid Jamlus terpaksa gulung tikar
"TIKAR yang kami bentang, tikar tu jugak kami terpaksa gulung."
Itu antara kata-kata yang tertera di laman Facebook bekas pemain kebangsaan Muhammad Khalid Jamlus, petang Ahad yang sekali gus turut memaklumkan mengenai penutupan gerai makanannya ‘Gerai Daging Masak Lomak Cili Api’ yang diusahakannya Lepak Court, Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat, Selangor sejak sembilan bulan lalu.
Menerusi laman Facebook miliknya itu, Khalid memaklumkan dia tidak lagi mampu untuk meneruskan perniagaan berkenaan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika ini.
Menurutnya, pelaksanaan PKP telah memberikan impak besar kepada perniagaannya itu apabila tidak ada lagi pelanggan yang berkunjung ke gerai yang diusahakannya itu seperti sebelum ini.
Sebelum ini, bekas pemain skuad Olimpik 2000, Perak, Selangor, Kelantan, ATM dan Kelantan itu diberitakan berdepan masalah kewangan sehinggakan terpaksa melelong segala barangan peribadinya seperti jersi dan medal yang pernah dimenanginya ketika bergiat aktif dalam bola sepak.
Paling mencuri tumpuan ramai pastinya terhadap tindakannya melelong ‘kasut emas’ yang dimenanginya pada musim 2002 lalu setelah meledak 17 gol bersama Perak.
Tindakan Khalid itu turut menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak negara namun lelongan berkenaan tetap diteruskan hingga akhirnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan untuk membeli kasut emas berkenaan pada September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!