Czech hantar Belanda pulang
REPUBLIK Czech melakar kejutan untuk mara ke saingan suku akhir selepas menundukkan Belanda 2-0 dalam aksi pusingan 16 pasukan terakhir Euro 2020 di Puskas Arena pada awal pagi Isnin.
Belanda memulakan perlawanan dengan baik apabila berjaya menguasai aksi 45 minit pertama dengan beberapa siri serangan sehingga memaksa Czech bertahan dalam kawasan sendiri.
Namun, segalanya berubah apabila pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt dibuang padang pada minit ke-55 menafikan peluang gol Czech apabila menggunakan tangan untuk menahan bola.
Czech mengambil peluang tersebut untuk mengambil alih perlawanan dan menghukum Belanda dengan membuka tirai jaringan menerusi tandukan Tomas Holes pada minit ke-68.
Pasukan kendalian Jaroslav Silhavy itu mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua yang dijaringkan oleh penggempur utama mereka iaitu Patrik Schick pada minit ke-80 sekali gus meranapkan harapan The Oranje untuk bangkit dalam perlawanan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!