Air zamzam masih dijual secara online

Tangkap layar penjualan air zamzam di Facebook.
Tangkap layar penjualan air zamzam di Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun kerajaan Malaysia dan Arab Saudi telah melarang penjualan air zamzam namun kegiatan itu masih dikesan berlaku di negara ini.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa platform dalam talian seperti media sosial dan e-dagang mendapati kegiatan penjualan air zamzam terus mendapat permintaan pelanggan ketika negara masih berada dalam Sekatan Pergerakan Penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Sepanjang tempoh PKP 3.0, terdapat beberapa maklum balas daripada pelanggan yang membeli air tersebut terutamanya melalui platform e-dagang.

Harga air zamzam dijual mengikut berat iaitu 220 mililiter (ml) dijual pada harga RM10, 500ml (RM20), lima liter (RM150) dan 10 liter (RM250).

Seorang pelanggan daripada platform e-dagang bernama Sakinah A berpuas hati terhadap pembungkusan air zamzam yang dihantarkan kepadanya.

“Terima pada 12 Jun 2021. Cantik bungkusan. Terima kasih penjual,” katanya.

Bagaimanapun, seorang pelanggan yang tidak ingin dikenali meluahkan rasa kesal kerana ia tidak dijaga dengan baik semasa proses penghantaran.

“Harga murah daripada penjual yang lain. Penerimaan lambat sampai, tak tahu la salah seller atau sistem penghantaran.

Artikel Berkaitan:

“Penjual dah bungkus dengan plastik untuk perlindungan tapi masih lagi tumpah. Mungkin penjual kena tukar penghantar lain,” menurutnya.

Sinar Harian menghubungi seorang penjual yang mengiklankan jualan air zamzam di Facebook.

Penjual air zamzam yang dikenali sebagai Mujahid memberitahu, dia menggunakan platform Facebook dan WhatsApp untuk menjual air berkenaan.

Menurutnya, meskipun jarang mengemas kini perniagaannya dalam platform Facebook, namun perniagaannya masih mendapat permintaan pelanggan.

“Kalau kawasan berdekatan, saya menggunakan kaedah bayar selepas terima (COD) atau penghantaran bagi kawasan yang jauh,” katanya.

Mujahid yang mendakwa mempunyai lesen untuk perniagaan tersebut turut memaklumkan kualiti air zamzam terjamin dan mempunyai nombor siri daripada kilang.

“Cuma saya nak maklumkan air zamzam masih baharu.

“Air zamzam ni dijamin 100 peratus original, memang ada nombor siri daripada kilang air zamzam,” jelasnya.

Pada 4 Januari 2020, penjualan air zamzam adalah dilarang dan tidak dibenarkan di negara ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan menegaskan tiada pihak termasuk pengedar atau syarikat yang mendapat lesen pengimportan dan penjualan air zamzam berikutan larangan kerajaan Arab Saudi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurutnya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa menjalankan penguatkuasaan terhadap penjualan air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen.

Ujar beliau, di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, mereka yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada siapa dapat lesen eksport, jual air zamzam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!