Moratorium pengubat tekanan jiwa

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PENGUMUMAN kerajaan untuk melanjutkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 menambahkan lagi tekanan rakyat yang sudah kepenatan mengharungi Covid-19 sejak setahun lalu.

Stamina mental dan fizikal rakyat juga tidak sama seperti mana pada permulaan pandemik itu berlaku ketika Malaysia pada waktu itu mencatatkan angka kes positif yang rendah.

Kesusahan rakyat makin ketara apabila ada yang sudah mula meminjam ah long untuk meneruskan kelangsungan hidup disebabkan kehilangan kerja dan terputus sumber pendapatan.

Rintihan rakyat juga dapat dilihat di media sosial apabila makin bertambah individu-individu yang membuat pengakuan mengalami kesusahan di waktu pandemik ini.

Bukan semua orang mempunyai kekuatan untuk meluahkan keadaan sebenar kewangan masing-masing untuk pengetahuan umum melainkan mereka benar-benar susah.

Oleh itu, janji Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengumumkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat pada hari ini atau esok amat dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat yang cukup terkesan dengan dugaan Covid-19 ini.

Ramai mengharapkan moratorium automatik tanpa faedah dapat diberikan sekali lagi sehingga hujung tahun ini kepada peminjam kerana semua sedia maklum tiada lagi bank yang mengumumkan kerugian dalam tempoh sukar ini.

Bank-bank dilaporkan mencatatkan keuntungan berbilion ringgit pada tahun lalu dan suku pertama tahun ini membuktikan institusi kewangan berkenaan mampu untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Artikel Berkaitan:

Dengan pemberian moratorium dan bantuan bersasar lain, ia dapat menjadi pengubat tekanan kepada orang ramai termasuklah peniaga-peniaga kecil yang kini makin nazak dalam perniagaan.

Kepada peminjam pula, berjimat cermatlah kerana tiada siapa dapat menjangkakan bila situasi sukar ini akan benar-benar reda.

Jaga juga kesihatan mental dan fizikal kerana nilainya lebih daripada segala-galanya. Jangan mengambil keputusan singkat melakukan sesuatu tindakan dilarang agama kerana ia bukan penyelesaian yang sebaiknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!