Isu kewangan antara rintihan peniaga PKS, mikro
SHAH ALAM - Rata-rata peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro kini berdepan masalah kewangan serius apabila kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Lebih menggusarkan, ada di antara mereka berkemungkinan bakal gulung tikar kerana sudah tidak mampu bertahan untuk meneruskan perniagaan.
Pemilik Dessert House, Fatin Juanah Mohamad Saidi, 29, berkata, walaupun kerajaan membenarkan sektor makanan dan minuman beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0, namun sambutannya kurang menggalakkan.
“Saya cuba buka kedai selama seminggu, tapi tiada langsung pelanggan yang datang. Saya mengalami kerugian manakala pendapatan pula terjejas teruk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Pengusaha kerepek dari Batu Pahat, Johor, Shazalina Abdullah, 29, pula memberitahu, berniaga semasa pelaksanaan PKP sangat berbeza apabila pendapatannya merudum tiga kali ganda.
“Sebelum PKP, anggaran yang kita boleh dapat dalam sehari lebih kurang RM4,000. Lebih-lebih lagi pada hari minggu. Berbeza dalam tempoh PKP, hujung minggu langsung tiada orang datang membeli,” ujarnya.
Pengurus Syarikat Arked Print dari Sabah, Norayati Karim, 35, menyatakan bantuan yang diterima daripada kerajaan tidak mencukupi untuk menampung perniagaan yang semakin suram.
“Walaupun kami dapat bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM1,000 dan diskaun sewa kedai sebanyak 30 peratus, ia masih tidak cukup untuk bantu peniaga kecil seperti kami,” katanya.
Beliau yang berasal dari Kota Belud, Sabah berkata, sudah dua tahun operasi perniagaannya terganggu sehingga ada pekerja yang terpaksa diberhentikan.
“Saya dah 16 tahun buka bisnes ini. Bila PKP, nak bayar gaji pekerja pun susah. Sebelum ini ada enam orang pekerja, tapi sekarang tinggal dua orang sahaja,” luahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!