16 pusat tauliah kemahiran ditutup, 179 lagi tinggal nyawa-nyawa ikan
SHAH ALAM - Sejumlah 16 pusat pentauliahan pelbagai bidang kemahiran di seluruh negara terpaksa ditutup, manakala 179 lagi daripada keseluruhan 545 pusat tauliah kemahiran kini berstatus 'nyawa-nyawa ikan'.
Presiden Persekutuan Pusat-Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia (Femac), Azizul Mohd Othman berkata, hayat pusat-pusat pentauliahan swasta di bawah JPK ini hampir terkubur memandangkan kerajaan tidak membenarkan sektor ini beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu susulan diklasifikasikan sebagai bukan kritikal.
Jelas beliau, keseluruhan pusat pentauliahan di bawah JPK ini bergantung kepada pendapatan dengan yuran pelajar sedia ada dan kemasukan pelajar baharu bagi menampung gaji tenaga pengajar, sewa bangunan, kos penyelenggaraan peralatan bantu mengajar serta kos pentadbiran.
“Di seluruh negara, sejumlah 545 pusat tauliah swasta berdaftar di bawah Femac untuk menawarkan pensijilan bertaraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam pelbagai bidang kemahiran seperti perhotelan, automotif, pendingin hawa, pengurusan bangunan serta pertanian.
“Apabila semua pusat tauliah ini tidak dibenarkan beroperasi sejak PKP 1.0 hingga sekarang, sekurang-kurangnya 179 pusat tauliah kini berada dalam keadaan tenat susulan tidak dapat melaksanakan walau seorang pun pengambilan pelajar baharu.
“Kena ingat, punca pendapatan kami bergantung kepada yuran pelajar dan sekiranya kami langsung tidak dapat mengambil pelajar baharu, pastinya keadaan itu amat membebankan. Buktinya sudah 16 pusat tauliah sudah ditutup setakat ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua sektor ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0, kecuali 17 perkhidmatan yang ditetapkan kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!