1,500 kedai mamak ‘bungkus’

Abdul Mukthahir turut menunjukkan bukti beberapa kedai mamak milik ahli Presma yang telah ditutup susulan tidak dapat menanggung kos operasi tinggi. Gambar kecil: Abdul Mukthahir
Abdul Mukthahir turut menunjukkan bukti beberapa kedai mamak milik ahli Presma yang telah ditutup susulan tidak dapat menanggung kos operasi tinggi. Gambar kecil: Abdul Mukthahir
A
A
A

SHAH ALAM - Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun 2020, sejumlah 1,500 premis kedai mamak di seluruh negara terpaksa gulung tikar setelah mencatatkan jumlah kerugian terkumpul lebih RM1 bilion.

Perkara itu didedahkan Naib Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Abdul Mukthahir Ibrahim yang mengakui nasib 12,000 restoran India Muslim atau lebih popular dipanggil kedai mamak, kini 'di ambang kematian' susulan 80 peratus hasil jualan harian premis berkenaan merudum setiap hari.

Jelas beliau, situasi kritikal itu disebabkan arahan kerajaan tidak membenarkan pelanggan makan atau minum di premis kedai makan dan hanya membenarkan pembelian secara bungkus sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh PKP 3.0 selain kesan PKP terdahulu.

“Umum mengetahui kedai mamak menjadi hab bersosial dalam kalangan rakyat Malaysia dengan mereka lebih gemar melepak di premis kami berbanding membeli makanan atau minuman secara bungkus.

“Justeru, apabila kami hanya dibenarkan beroperasi secara take away, hasil jualan harian premis kami merudum sehingga 80 peratus.

“Ditambah banyak kedai tepi jalan, premis atas talian dan foodtruck dibenarkan beroperasi pada saat PKP total lockdown ketika ini, pendapatan kami saban hari benar-benar terkesan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Usahawan mikro berisiko bankrap

Lebih mengecewakan, pada saat getir ketika ini, Abdul Mukthahir turut menempelak sikap institusi bank yang langsung tidak menyelami denyut nadi peniaga mikro susulan kesukaran mereka mendapatkan bantuan pinjaman mudah.

“Begitu juga bantuan mikro kredit ditawarkan kerajaan seperti Pemerkasa yang dilihat dari luar, nampak cantik namun bila permohonan dibuat kami sukar mendapatkan kelulusan.

Artikel Berkaitan:

“Bila saya tunjuk penyata kewangan yang menunjukkan kerugian pada waktu krisis Covid-19, bank tolak permohonan saya. Sedangkan saya langsung tidak mencatatkan rekod kredit tidak memuaskan sepanjang 25 tahun berniaga,” katanya.

Berikutan itu, Abdul Mukthahir mewakili 4,500 ahli Presma merayu kerajaan mengarahkan institusi perbankan tempatan untuk menawarkan pinjaman mudah dengan nilai maksimum RM200,000 tanpa faedah atau dengan kadar faedah rendah kepada mereka.

“Selain itu, kami turut mencadangkan kerajaan agar mempertimbangkan kembali kebenaran pelanggan untuk makan di premis tidak lebih dua orang bagi setiap meja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!