4,327 kes jenayah siber libat kerugian RM77 juta dilaporkan

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 4,327 jenayah siber dilaporkan pada suku pertama tahun ini membabitkan kerugian RM77 juta.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tersebut jauh meningkat berbanding tahun sebelumnya.

"Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2019, jumlah siber jenayah yang dilaporkan adalah 11,875 kes, dengan kerugian sebanyak RM498 juta manakala tahun lalu, ia meningkat kepada 14,229 dengan jumlah kerugian RM413 juta," katanya.

Menurutnya, walaupun tiga tahun terakhir jumlah kerugian berkaitan dengan jenayah siber menunjukkan penurunan, apa yang lebih membimbangkan adalah kes terus meningkat.

"Ini membuktikan bahawa jenayah siber memang menjadi masalah yang memerlukan perhatian serius," katanya dalam ucapan perasmian Pameran dan Persidangan Keselamatan & Keselamatan Siber 2021 (CYDES 2021) yang diadakan secara maya pada Isnin.

Beliau berkata, kebergantungan terhadap digital susulan dilanda pandemik Covid-19 telah berlaku dengan pantas dan ketara serta di luar jangkaan sekali gus mempercepatkan rancangan kerajaan untuk meningkatkan literasi digital.

"Kini, semakin ramai rakyat Malaysia yang terlibat dalam e-dagang, pelajar kita semakin terdedah kepada bilik darjah dalam talian sementara sektor ekonomi dan kerajaan terus meningkatkan kecekapan melalui digitalisasi," katanya.

Muhyiddin berkata, kebergantungan itu tidak hanya mencipta peluang baru bahkan juga membuka pintu ancaman.

Artikel Berkaitan:

"Penjenayah siber akan terus mengeksploitasi keadaan untuk melaksanakan niat jahat mereka," katanya.

Beliau berkata, kerajaan memberi perhatian terhadap isu keselamatan siber dalam setiap inisiatif yang dilancarkan selain meminta semua pihak berhati-hati terhadap ancaman siber yang tiada sempadan dan lebih kompleks.

"Keselamatan siber harus menjadi keutamaan, terutama dalam hal-hal yang mendasari keselamatan ekonomi dan negara," katanya.

Beliau berkata, Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA) telah diberi tanggungjawab untuk menjadi agensi utama bagi mengkoordinasikan dan menetapkan standard semua inisiatif keselamatan siber di bawah enam kelompok MyDigital.

Katanya, semua rancangan tindakan di bawah Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020 - 2024 (MCSS 2020 - 2024) akan diselaraskan dengan inisiatif MyDigital sebagai elemen penting untuk mencapai visi membina ruang siber yang aman, dipercayai dan berdaya tahan.

MyDigital dilancarkan pada Februari lalu bertujuan sebagai platform mendigitalisasi rakyat untuk merebut peluang bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020 - 2024 (MCSS) telah menggariskan 113 program di bawah 35 rancangan tindakannya, salah satunya adalah mengadakan persidangan dan pameran antarabangsa dua tahunan yang juga dikenali sebagai CYDES.

Objektif CYDES yang diadakan selama tiga hari bermula Isnin adalah bagi mengumpulkan semua pakar keselamatan siber untuk berkongsi amalan terbaik dan kepantasan pembangunan teknologi digital.

"Diharapkan persidangan ini dapat membolehkan kita memerangi jenayah siber bersama-sama dengan lebih baik.

"Dalam menghadapi ancaman siber yang semakin meningkat, kita semua mesti bekerjasama dalam berkongsi pengalaman, pengetahuan dan teknologi baru," katanya.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mengumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai menteri bertanggungjawab di dalam hal ehwal keselamatan siber.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!