Warga emas 105 tahun lengkap dua dos suntikan
KUALA KRAI - [DIKEMAS KINI] Seorang warga emas dipercayai individu tertua di Kelantan dan mendakwa berusia 105 tahun antara 400 penduduk yang melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 jenis Sinovac melalui Program Outreach Vaksinasi di RPT Bahagia di sini pada Ahad.
Warga emas itu menerima suntikan berkenaan daripada kakitangan pejabat kesihatan daerah di kediamannya bersama isteri, Syarifah Samad berusia 79 tahun.
Mamat Mohd Ali yang dicatatkan lahir pada 1929 di MyKad tetapi mendakwa lahir pada tahun 1916.
Mesra dengan panggilan Pak Adik, guru al-Quran itu mempunyai tujuh anak, 20 cucu dan 50 cicit hasil perkahwinan dengan tiga isterinya.
Ketika ditemui, Mamat teruja apabila sudah melengkapi dua dos vaksin Covid-19.
“Tak sakit pun, sama saja macam cucuk kali pertama, tak rasa apa-apa," katanya yang menerima suntikan pertama pada 7 Jun lalu.
“Selepas suntikan pertama, tidak ada apa-apa berlaku dan kesihatan pun baik,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di RPT Bahagia, di sini pada Ahad.
Anak Mamat, Syukriah, 36, berkata, bapanya mengamalkan pemakanan seimbang dan meminum air suam untuk kekal sihat sehingga lanjut usia.
“Sehingga kini, dia sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit selain sentiasa membaca al-Quran,” katanya.
Program Outreach Vaksinasi turut membabitkan pemberian vaksin dos pertama jenis Sinovac kepada sembilan orang asli membabitkan lima keluarga di Perkampungan Orang Asli Kampung Kluat, di sini.
Tok Batin Kampung Kluat, Kamal Gadong mendahului senarai penerima suntikan vaksin dan mengakui sangat gembira dengan keprihatinan kerajaan melindungi komuniti itu.
Katanya, komuniti terbabit memahami hasrat kerajaan membentuk imuniti kelompok menerusi pemberian vaksin kepada masyarakat.
“Kami sendiri mahukan suntikan vaksin Covid-19 kerana takut bahaya Covid-19.
“Pendaftaran vaksinasi dilakukan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada Sabtu lalu dan hari ini (Ahad) kami sangat gembira menerima suntikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!