Kerani hamil sebulan didakwa pecah amanah
KOTA BHARU - Seorang wanita hamil sebulan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan pecah amanah membabitkan penggunaan barangan kosmetik bernilai RM1,564 milik syarikat tempatnya bekerja.
Nur Suehada Kamarozaman, 27, membuat pengakuan di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin selepas faham pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Berdasarkan pertuduhan, Nur Suehada sebagai kerani didakwa pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan barangan kosmetik milik Farhana Maju Trading dengan menjadikan harta itu bagi kegunaan sendiri dan melanggar kontrak di sisi undang-undang.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah kedai kosmetik di Kuala Krai antara jam 10 dan 5 petang pada 1 hingga 31 September 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar meminta mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain menetapkan kes disebut semula 20 Mac ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!