'Akmal rindu sekolah, nak main dengan kawan-kawan'

Muhammad Akmal sebak meluahkan rasa rindu terhadap rakan-rakan dan sekolah.
Muhammad Akmal sebak meluahkan rasa rindu terhadap rakan-rakan dan sekolah.
A
A
A

IPOH - Kemalangan yang berlaku hampir setahun lalu mengubah hidup seorang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Bota Kanan yang kini hanya terlantar.

Muhammad Akmal Aziq Suhaimi, 15, berkata, keadaan fizikalnya kini tidak seperti remaja lain apabila kakinya tidak boleh diluruskan selepas menjalani pembedahan akibat kemalangan tersebut.

Menurutnya, dia tidak lagi boleh menguruskan diri dan hanya mengharapkan bantuan ibunya, Rosni Ramli, 45, serta adik beradik yang lain.

"Saya teringin sangat melakukan banyak perkara, hidup normal seperti sebelum ini, bermain dengan kawan-kawan dan rindu ke sekolah.

"Kadang-kadang Akmal rasa menyusahkan ibu sebab terpaksa buat semua. Akmal nak tolong ibu tapi keadaan tidak mengizinkan," katanya sebak ketika ditemui ditemui di rumahnya di No 64, Haluan Tasek Timur 14, Anjung Bercham Megah, di sini pada Ahad.

Sementara itu Rosni berkata, Muhammad Akmal seorang anak yang sihat dan menjalani kehidupan normal seperti remaja yang lain tetapi fizikalnya berubah akibat kemalangan itu.

Jelasnya, tidak dapat dipastikan punca sebenar keadaan seperti itu namun dia berharap anak ketujuh daripada lapan beradik itu mampu pulih.

Menurutnya, Muhammad Akmal memerlukan rawatan susulan di hospital setiap dua minggu tetapi sudah hampir empat bulan tidak membuat rawatan tersebut kerana tiada kenderaan yang sesuai untuk membawa anaknya itu.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Arib (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Muhammad Akmal di No 64, Haluan Tasek Timur 14, Anjung Bercham Megah, pada Ahad.
Mohamed Arib (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada keluarga Muhammad Akmal di No 64, Haluan Tasek Timur 14, Anjung Bercham Megah, pada Ahad.

"Kami tidak ada kereta. Pemandu Grab pula tidak mahu mengambil risiko untuk membawa Akmal kerana keadaannya," katanya.

Rosni memberitahu, dia kini tidak bekerja dan menjaga anaknya itu sepenuh masa tetapi bersyukur kerana ada anak-anak lain yang membantu selain sumbangan makanan daripada orang ramai," katanya.

Katanya, setakat ini barang-barang keperluan untuk Muhammad Akmal seperti lampin pakai buang masih mencukupi tetapi dia bimbang jika perubatan lain memerlukan kos yang tinggi.

Simpati dengan nasib yang ditanggung keluarga berkenaan, Persatuan India Muslim Perak (PRIM) tampil menghulurkan bantuan berupa sebuah tilam dan keperluan makanan bagi meringankan beban ditanggung.

Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah berkata, pihaknya akan melihat keperluan lain yang boleh dibantu selain memanjangkan keadaan keluarga tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi di talian 017-5890350 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0824041000100797 atas nama Rosni Ramli.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!