Imigresen tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen terbesar

Antara peralatan dan barang yang dirampas.
Antara peralatan dan barang yang dirampas.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Taktik seorang warga Myanmar yang menjadi dalang utama sindiket pemalsuan dokumen dengan menyewa dua buah unit kondominium untuk mengaburi pihak berkuasa berjaya digagalkan Jabatan Imigresen Malaysia.

Suspek yang dikenali sebagai Rockers, berumur lingkungan 38 tahun diberkas dalam satu operasi khas di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan berdasarkan maklumat risikan selama empat bulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia.

"Suspek diberkas kira-kira jam 6.45 petang ketika menunggu pelanggan di dalam kereta di belakang sebuah bangunan di kawasan Kota Raya.

"Susulan penangkapan suspek telah membawa kepada satu serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Bandar Tasik Selatan yang dijadikan sebagai tempat untuk mencetak dan mengeluarkan pelbagai dokumen palsu," katanya pada sidang akhbar di Imigresen Putrajaya pada Isnin.

Khairul Dzaimee berkata, modus operandi suspek adalah dengan menyewa dua unit kondominium mewah bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Satu unit dijadikan sebagai kediaman sementara satu lagi dijadikan markas untuk kegiatan suspek.

"Siasatan dijalankan juga mendapati suspek melakukan kegiatan ini secara bersendirian sejak empat tahun lalu, suspek menggunakan aplikasi seperti WhatsApp, Viver, WeChat dan Telegram sebagai medium untuk mencari pelanggan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sindiket ini menyasarkan pelanggan terdiri daripada warganegara Myanmar dan Bangladesh.

"Selain mencetak dan mengeluarkan pelbagai dokumen palsu, suspek juga menghasilkan dokumen palsu yang mempunyai ciri-ciri keselamatan.

"Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM300 hingga RM1,000 bagi Pas Lawatan Kerja Sementara, i-kad (RM100), pakej cap keluar atau masuk pelbagai negara (RM200), pasport pelbagai negara (RM500), kad UNHCR (RM100), sijil kelahiran serta sijil perkahwinan Myanmar (RM100) dan lesen memandu antarabangsa (RM100)," katanya.

Tambahnya, hasil serbuan menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan semua dokumen palsu ini.

"Antara yang ditemui ialah komputer, mesin pencetak, mesin laminate, papan pemotong, mesin pengimbas dan beberapa peralatan lain.

"Selain itu, pelbagai dokumen palsu turut ditemui antaranya, i-kad, kad UNHCR, pasport beberapa negara, sijil kelahiran dan perkahwinan Myanmar selain wang tunai sebanyak RM15,300, sebuah kereta jenis Honda dan motosikal jenis Yamaha," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!