Stadium Tertutup Nilai dijadikan PKRC
NILAI - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) berkapasiti besar akan dibuka di Stadium Tertutup Nilai pada 1 Julai ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PKRC berkenaan mampu menempatkan seramai 1,060 pesakit Covid-19 tahap satu dan dua yang berisiko rendah dengan dikendalikan seramai 150 petugas.
Menurutnya, selepas itu PKRC sedia ada di Politeknik Port Dickson dan Kolej Kejururawatan Kuala Pilah akan ditutup secara berperingkat.
"Kita akan tutup kedua-dua PKRC ini memandangkan tidak lama lagi pelajar akan kembali belajar yang mana ketika ini kedua-duanya menempatkan seramai 864 dan 694 pesakit.
"Tujuan kita buka di Stadium Tertutup Nilai untuk selaraskan pesakit Covid-19 di satu tempat sekali gus mampu mengurangkan petugas dan memudahkan lagi kawalan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) di sini, pada Isnin.
Selain itu katanya, terdapat tiga PKRC swasta di Negeri Sembilan iaitu satu di Nilai dan dua di Port Dickson.
"Di Nilai Lodge Residence yang mempunyai 901 kapasiti katil kini telah menempatkan seramai 704 pesakit.
"Dua di Port Dickson iaitu di Ancasa Residences mempunyai kapasiti 125 katil yang kini telah diisi 28 pesakit dan di Klana Beach Resort Port Dickson mempunyai kapasiti 74 katil dan telah diisi 15 pesakit," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!