Kemenangan suka duka Belgium
KEMENANGAN 1-0 yang diraih Belgium ke atas Portugal dalam aksi 16 pasukan terakhir Euro di Estadio de La Cartuja pada awal pagi Isnin perlu dibayar mahal selepas dua tonggak utama iaitu Eden Hazard dan Kevin de Bruyne mengalami kecederaan.
Pengendali Belgium, Roberto Martinez berkata, kedua-dua pemain itu akan menjalani pemeriksaan dan dia tidak dapat memberikan gambaran sama ada boleh menurunkan pemain tersebut pada aksi suku akhir menentang Itali pada Sabtu ini.
"Kami memerlukan 48 jam untuk mengetahui sejauh mana teruknya kecederaan yang dialami kedua-dua mereka.
"De Bruyne mengalami kecederaan di buku lali, ia satu kecederaan yang nampak teruk. Eden lebih kepada kecederaan otot. Kami akan pulang ke Belgium malam ini sebelum melakukan ujian imbasan," katanya.
Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal pemain tengah Belgium, Thorgan Hazard pada babak pertama sudah cukup untuk memastikan kemaraan skuad The Red Devils itu ke perlawanan suku akhir.
Dalam pada itu, Martinez mengakui kekuatan mental pemain menjadi antara faktor kejayaan pasukan itu menundukkan Portugal yang juga juara bertahan Euro.
"Ia bukan hanya sekadar sejauh mana bagusnya kami tetapi bagaimana kami berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan portugal. Mereka melakukan segalanya ntuk menang dan sebab itu mereka memenangi Euro edisi lalu.
"Mereka tahu bagaimana untuk mencari peluang untuk melakukan serangan, tetapi saya fikir kami juga beraksi dengan baik dan bertahan semampu yang boleh.
"Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama, mengawal perlawanan dan menjaringkan gol yang cantik. Tetapi, pada separuh masa kedua Portugal mula menunjukkan momentum mereka.
"Namun, para pemain menunjukkan disiplin, kemampuan taktikal yang baik dan tidak hilang tumpuan. Keputusan ini memberikan kepuasan kepada kami kerana inilah yang sesebuah pasukan inginkan untuk meneruskan kemaraan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!