Perkhidmatan LHDN dilaksana dengan kaedah sesuai
PUTRAJAYA - Susulan pelanjutan Fasa Pertama Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara, perkhidmatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilaksanakan dengan kaedah yang disusun mengikut kesesuaian.
LHDN pada Isnin memaklumkan, bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), ia boleh dibuat secara dalam talian melalui https://bpr.hasil.gov.my atau secara janji temu di kaunter perkhidmatan pejabat cawangan, pejabat satelit dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) pada hari bekerja di setiap negeri sehingga Rabu ini, dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.
“Pemohon juga boleh menyerahkan borang permohonan rayuan yang lengkap berserta dokumen di kemudahan kotak serahan yang disediakan di semua lokasi pejabat LHDN termasuk di Sabah dan Sarawak,” kata LHDN.
Menurut kenyataan itu, kaunter duti setem pula hanya akan beroperasi di Pusat Setem Cawangan (PSC) menerusi kaedah janji tem yang dibuka khusus untuk pelanggan dan pembayar duti setem individu yang tidak boleh mendaftar sebagai pengguna ‘Stamp Assessment and Payment Systems’ (STAMPS).
“Pembayar duti setem selain individu atau ejen STAMPS diwajibkan mengemukakan permohonan dan bayaran secara dalam talian melalui STAMPS. Janji temu ejen STAMPS di kaunter hanya dibenarkan bagi kes tertentu yang tidak boleh dilakukan melalui STAMPS,” kata LHDN.
Kesemua permohonan janji temu boleh dilakukan melalui e-mel atau panggilan telefon ke PSC dengan merujuk kepada senarai nombor perhubungan atau di pautan pantas http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=2&bt_skum=2&bt_posi=1&bt_unit=4&bt_sequ=4.
Kenyataan itu juga menyebut, operasi Kaunter Pusat Bayaran di Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching sepanjang Fasa Pertama Kawalan Pergerakan adalah pada Isnin hingga Jumaat, dari pukul 8.00 pagi hingga 12 tengah hari.
LHDN turut memberitahu, bayaran tunai dan cek boleh dibuat untuk cukai pegangan, seniman kembara, cukai keuntungan harta tanah oleh pemeroleh serta bayaran kompaun, manakala bayaran menggunakan kad kredit dan kad debit boleh dibuat untuk cukai pendapatan dan lain-lain cukai.
Talian telefon, kecuali di ibu pejabat dan pejabat cawangan, berfungsi waktu operasi terhad iaitu bagi Hasil Care Line dan talian hotline BPR waktu operasinya adalah Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 4 petang, manakala bagi Live Chat mulai 9 pagi hingga 5 petang, berdasarkan hari bekerja di setiap negeri.
LHDN juga telah menyediakan soalan lazim terkini berkaitan Urusan Percukaian Dalam Tempoh Fasa Pertama Kawalan Pergerakan, yang boleh dicapai melalui pautan versi bahasa Melayu http://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf dan versi bahasa Inggeris http://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.pdf.
Untuk pertanyaan atau maklumat balas berhubung perkara tersebut, orang ramai diminta menghubungi LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara) atau HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!