Bukan salah Ronaldo
PENGENDALI Portugal, Fernandos Santos enggan menyalahkan Cristiano Ronaldo selepas penyerangnya itu gagal meledak gol ketika tewas kepada Belgium 0-1 dalam aksi 16 pasukan terakhir di Seville pada awal pagi Isnin.
Menurutnya, tiada sebab untuk menyalahkan Ronaldo dengan pemain itu sudah menunjukkan persembahan terbaik sepanjang saingan Euro kali ini.
"Ronaldo menjaringkan lima gol dalam kejohanan ini. Mungkin dia tidak menjaringkan gol hari ini, tetapi dia adalah contoh kapten sebenar dalam dunia ini.
"Dia cuba sedaya upaya untuk mengubah keputusan permainan pada hari ini, namun tidak berjaya. Tiada isu dengan Ronaldo," katanya.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal Thorgan Hazard sudah cukup untuk menghantar The Red Devils ke pusingan suku akhir.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Santos menyifatkan kekalahan yang dialami pasukannya kepada Belgium dalam aksi 16 pasukan terakhir itu sebagai tidak adil.
Santos berkata, pasukan kendaliannya itu mempunyai lebih banyak peluang berbanding Belgium namun bola percubaan para pemainnya tidak bernasib baik untuk menembusi gawang The Red Devils.
"Bagi saya ia satu keputusan yang tidak adil kerana kami gagal menjaringkan gol dan lawan pula berjaya melakukannya.
"Mereka mempunyai enam peluang terbaik dan satu tepat ke sasaran. Kami mempunyai 29 peluang dan gagal menjaringkan sebarang gol.
"Barisan pemain saya sudah mencuba sebaik mungkin sepanjang perlawanan tetapi tetap gagal. Kami berasakan dapat memenangi kejohanan ini sekali lagi selepas 2016. Beberapa pemain saya menangis di bilik persalinan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!