Selangor perlu tolak ansur dengan peniaga kecil

Noh berucap pada Libat Urus ADUN dan Ahli Parlimen Selangor Peringkat Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor menerusi aplikasi zoom pada Isnin.
Noh berucap pada Libat Urus ADUN dan Ahli Parlimen Selangor Peringkat Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor menerusi aplikasi zoom pada Isnin.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kerajaan Selangor digesa untuk lebih bertolak ansur terhadap peniaga kecil di negeri ini terutamanya dalam keadaan rakyat yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau menerima banyak aduan daripada peniaga berhubung tindakan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan kuasa masing-masing untuk meroboh gerai penjaja tidak berlesen.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu membebankan peniaga kecil yang dihimpit kemerosotan pada musim pandemik ini.

"Dalam keadaan peniaga berdepan kesusahan, mengapa kita mesti tidak bertolak ansur dengan mereka?.

"Saya cadangkan kerajaan negeri membenarkan mereka berniaga sama ada di depan rumah atau di bawah pokok asalkan tidak mengganggu lalu lintas," katanya.

Beliau berkata demikian pada Libat Urus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Selangor Peringkat Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor aplikasi zoom di sini pada Isnin.

Dalam pada itu Noh yang diberi ruang selama 10 minit pada sesi itu turut meminta kerajaan negeri memberi moratorium atau diskaun cukai tanah dan taksiran bergantung kepada kemampuan kewangan negeri.

Katanya, kerajaan Selangor dicadangkan memberi moratorium sekurang-kurangnya enam bulan atau setahun bagi mengurangkan impak pandemik kepada semua rakyat di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita cadangkan kerajaan negeri beri moratorium enam bulan atau setahun atau jika kewangan terhad berilah diskaun 50 peratus cukai di negeri ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!