Dua sahabat diberkas edar dadah
KUALA LUMPUR - Polis memberkas dua sahabat secara berasingan kerana disyaki mengedar dadah di Taman Batu Jinjang, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 48 tahun yang sedang menunggang motosikal di hadapan kedai dobi pada jam 8.40 malam.
"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai 10 ketulan mampat dadah jenis kanabis anggaran berat 9,940 gram di dalam bakul motosikal tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini pada Isnin.
Eng Lai berkata, rakan suspek berusia 43 tahun pula berjaya diberkas di sebuah rumah pada jam 9.25 malam.
"Suspek kemudian telah membawa pasukan polis ke sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan berhampiran dengan hentian bas.
"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai dadah jenis kanabis anggaran berat 25,700 gram. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM90,000," katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak tahun lalu.
"Modus operandi mereka adalah mengedar dadah secara kecil-kecilan dengan menggunakan motosikal.
"Kereta tersebut pula disyaki sebagai tempat penyimpanan dadah dalam jumlah yang banyak," katanya.
Beliau berkata, ujian saringan awal urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah tetrahydrocannibinol (THC).
"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Dalam perkembangan berasingan Eng Lai memaklumkan, pihaknya memberkas seramai 41 individu termasuk empat wanita berusia 19 hingga 55 tahun disyaki pengedar dadah dalam serbuan pada 14 hingga 24 Jun lalu.
"Kita turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin (615.95 gram), kanabis (1,539.68 gram), methamphetamine (1,134.98 gram), ketamin (5,194.20 gram) dan pil erimin 5 (113 gram).
"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM438,713.16," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!