Ekuiti tempatan dijual pelabur asing cecah RM469.5 juta

No Image Caption
A
A
A

EKUITI tempatan yang dilupuskan oleh pelabur asing minggu lepas berjumlah sehingga RM469.5 juta bersih berbanding RM75.7 juta bersih yang dibeli pada minggu sebelumnya.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pelupusan mingguan itu adalah aliran keluar asing terbesar dalam tempoh sembilan minggu.

Beliau berkata, pelabur asing menjual sejumlah RM185.0 juta bersih urus niaga Isnin minggu lepas bersamaan dengan penurunan 1.1 peratus dalam indeks FBM KLCI pada hari yang sama, penyusutan harian terbesar yang dilihat sejak 31 Mac 2021.

"Penjualan bersih asing pada Selasa menurun sedikit kepada RM142.2 juta bersih kerana pelabur terus optimis dengan penggabungan Celcom-Digi yang menyaksikan indeks telekomunikasi dan media Bursa Malaysia memperoleh keuntungan terbesar sebanyak 2.3 peratus," katanya kepada Bernama.

Menurut Adam, pelabur asing terus melupuskan ekuiti tempatan untuk hari ketiga berturut-turut pada urus niaga Rabu walaupun pada kadar yang lebih perlahan sebanyak RM61.8 juta bersih, sebelum menjual lebih banyak pada Khamis berjumlah sehingga RM79.8 juta bersih kerana sentimen pada keseluruhannya masih terjejas oleh kes harian baharu Covid-19 yang tidak menunjukkan tanda-tanda untuk reda.

“Kebimbangan mengenai tekanan inflasi muncul kembali di pasaran selepas dua pegawai Rizab Persekutuan menyatakan tempoh bagi kadar inflasi yang tinggi di Amerika Syarikat itu akan lebih lama daripada jangkaan, hanya sehari setelah pengerusi Jerome Powell meyakinkan bahawa tekanan harga dapat dikawal,” katanya.

Namun begitu, kadar penjualan bersih asing secara perlahan menurun dengan ketara kepada RM0.7 juta pada urus niaga Jumaat di tengah-tengah aktiviti pembelian selain daripada berita menyatakan Presiden AS Joe Biden menerima perjanjian mengenai infrastruktur dengan sekumpulan senator dwipartisan yang boleh membantu melonjakkan pertumbuhan ekonomi AS, kata Adam.

Sementara itu, aliran keluar bersih asing untuk bulan Jun hingga kini telah menyaksikan jumlah aliran keluar sebanyak RM783.6 juta.

Artikel Berkaitan:

"Dengan berbaki tiga hari urus niaga lagi sebelum bulan berakhir, bulan Jun telah bersedia menjadi bulan 24 berturut-turut penjualan bersih asing di Bursa sekiranya pelabur asing terus mengurangkan pendedahan mereka dalam ekuiti tempatan.

"Dari awal tahun sehingga kini, pelabur asing telah melupuskan RM3.8 bilion bersih ekuiti tempatan tahun ini," tambah Adam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!