SeLangkah: Suntikan vaksin percuma, tiada bayaran dikenakan

Dr Siti Mariah (dua dari kiri) meninjau perjalanan Program Vaksin Selangor di Dewan Seri Siantan pada Isnin.
Dr Siti Mariah (dua dari kiri) meninjau perjalanan Program Vaksin Selangor di Dewan Seri Siantan pada Isnin.
A
A
A

BATU CAVES - Penerima vaksin Covid-19 di bawah Program Vaksin Selangor menggunakan aplikasi SeLangkah di Dewan Seri Siantan Jalan Sungai Tua di sini mengesahkan mereka tidak dikenakan sebarang bayaran bagi mendapatkan vaksin itu.

Seorang suri rumah, Nurul Ashura Mustafa, 44 berkata, dia mendaftar melalui Pusat Khidmat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia sebaik sahaja mengetahui program tersebut minggu lepas.

"Apabila tahu ada dibuka pendaftaran vaksin di bawah program itu, saya bagi nama dan daftar melalui aplikasi SeLangkah sebelum diminta hadir menerima suntikan pada Isnin.

"Saya boleh sahkan memang tiada bayaran dikenakan. Pihak yang terlibat mencari peserta juga tidak meminta sebarang bayaran," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan seorang individu yang perlu membayar RM350 untuk menerima suntikan vaksin menggunakan aplikasi SeLangkah yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Surau Darul Hidayah Pinggiran Baru Caves, Che Hamid Che Jusoh turut menafikan dakwaan pembayaran untuk mendapatkan suntikan di bawah program berkenaan.

"Setiap surau dan masjid di DUN Gombak Setia perlu hantar 15 nama untuk program berkenaan. Jadi saya hantar nama ahli jawatankuasa (AJK) surau yang terlibat dalam kerja kebajikan.

"Saya bagi nama AJK surau kerana mereka golongan berisiko. Kami terlibat dalam kerja sukarelawan menghantar keperluan makanan kepada keluarga memerlukan termasuk yang menjalani kurantin di rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang pemandu teksi, Ramlan Sulaiman, 58, yang menerima suntikan vaksin di bawah program itu berharap masyarakat tidak terpedaya dengan penipuan bayaran untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"Vaksin diberi percuma. Jadi orang awam jangan mudah tertipu, kita perlu peka dan dapatkan maklumat daripada sumber yang sahih.

"Jika tidak pasti dapatkan pengesahan daripada petugas atau pihak berwajib. Banyak pihak yang mengambil kesempatan dan ada juga sengaja menimbulkan isu yang tidak ada ketika negara bergelut dengan Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!