669,846 pekerja dari 4,537 syarikat mendaftar dengan PIKAS
KUALA LUMPUR - Sebanyak 669,846 pekerja dari 4,537 syarikat di seluruh negara mendaftar dengan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) setakat 27 Jun 2021.
Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah PIKAS yang dikelolakannya di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, Selangor telah memulakan proses vaksinasi bagi pekerja sektor pembuatan di negeri itu pada Isnin.
PIKAS mempunyai matlamat untuk mempercepat vaksinasi bagi sekurang-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang penghujung suku ketiga 2021, jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.
Ia merupakan program dilancarkan sebagai fasa empat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bertujuan membantu mempercepat vaksinasi dalam kalangan rakyat, dengan menyasarkan tenaga kerja dalam sektor pembuatan kritikal, tambahnya.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Isnin mengadakan lawatan kerja di PPV PIKAS SCCC dan untuk memastikan semua persiapan berjalan lancar.
PPV di SCCC adalah antara lapan PPV Penggunaan Umum di seluruh negara yang telah mendapat kebenaran untuk beroperasi selewat-lewatnya pada 5 Julai 2021.
MITI menjelaskan terdapat dua jenis PPV di bawah PIKAS iaitu PPV Penggunaan Umum dan PPV di Tapak, dengan PPV Penggunaan Umum melibatkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel manakala PPV Di Tapak (On-Site) pula adalah PPV di premis kilang.
“Melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma, manakala pihak swasta akan menguruskan pentadbiran PPV termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta.
“Majikan perlu menanggung sepenuhnya kos pentadbiran bagi vaksinasi pekerja dan tidak dibenarkan untuk memindahkan kos pentadbiran vaksinasi dengan menolak gaji pekerja walaupun pekerja tidak lagi berkhidmat dengan syarikat selepas mendapat dos vaksin pertama,” tegasnya.
Menurut MITI, pada masa PIKAS dilaksanakan, kerajaan tetap komited memastikan vaksinasi bagi golongan yang paling rentan dan yang telah mendaftar di bawah PICK kekal menjadi keutamaan.
Syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui www.miti.gov.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!