Kerajaan sediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju menyediakan bayaran tambahan sebanyak RM1,000 di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 kepada penerima yang layak iaitu golongan peniaga yang tidak dibenarkan beroperasi sepenuhnya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penerima bagi inisiatif tersebut akan menerima RM500 pada bulan September dan RM500 lagi pada November 2021.
Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan fokus kedua dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) iaitu menyokong perniagaan.
“Melalui fokus kedua ini, beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan serta meneruskan insentif penggajian.
“Secara keseluruhan kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM5.1 bilion melalui inisiatif GKP,” katanya semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, bagi usahawan mikro yang masih belum menerima bantuan tersebut mereka digalakkan membuat pendaftaran yang akan dibuka pada pertengahan Julai ini.
“Terkini di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan, penerima yang layak telahpun mendapat bayaran GKP 3.0 mereka sebanyak RM1,000 kira-kira dua minggu lepas dan bakal mendapat RM500 lagi pada pertengahan bulan Julai nanti.
“Kerajaan berharap dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira satu juta usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro khususnya pengusaha kedai gunting rambut, pemilik bengkel kenderaan, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatan dan lain-lain dapat mengurangkan tanggungan bulanan serta membantu aliran tunai mereka, Insya-ALLAH,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!