Swee Kuan mohon maaf tuduh RTM sabotaj kerajaan
SHAH ALAM - Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan memohon maaf kerana menuduh Radio Televisyen Malaysia (RTM) cuba mensabotaj kerajaan menerusi akaun Facebooknya pada 17 Februari lalu.
Swee Kuan berkata, beliau baru mengetahui tentang prosedur operasi standard (SOP) agensi penyiar rasmi kerajaan itu hanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa siaran langsung sambutan Tahun Baru Cina di Seremban.
"Saya menyokong kebebasan media dan dan berharap sekiranya suatu hari nanti RTM akan dapat menjadi penyiar awam yang profesional dan berkualiti tinggi.
"Saya menyatakan sepenuh sokongan terhadap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk mewujudkan Majlis Media. Ini adalah langkah yang betul untuk menterjemah semula peranan penting media milik kerajaan," katanya.
Baru-baru ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjelaskan liputan siaran langsung RTM ketika sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan di Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad lalu mematuhi SOP yang sudah ditetapkan.
SOP RTM menyatakan dengan jelas bahawa apabila Perdana Menteri menghadiri sebuah majlis rasmi, maka hanya ucapannya yang akan disiarkan secara langsung melalui RTM.
RTM juga tidak boleh dipersalahkan kerana tidak menyiarkan ucapan seorang Menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan di majlis berkenaan, memandangkan Perdana Menteri turut hadir dan berucap di majlis itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!